POLITIK

Keputusan Pembahagian Kerusi Prn Ditentukan Selepas Dun Dibubar -- Mohamad

01/05/2023 02:46 PM

REMBAU, 30 April (Bernama) -- Keputusan pengagihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hanya akan dibuat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dibubarkan nanti.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan itu akan dibuat di peringkat pusat dalam blok BN serta PH, dan proses rundingan mengenai agihan kerusi di negeri-negeri terlibat sedang berjalan.

"Keputusan pembahagian kerusi belum dibuat lagi, biar gerak kerja dilakukan dahulu, kalau cerita tentang kerusi memang akan (ada) masalah, (keputusan) pembahagian akan dibuat selepas pembubaran DUN, pada masa itu nanti kita sudah tiada pilihan, kita terus bersetuju dan terus bergerak ke hadapan.

".. jangan cerita tentang kerusi dulu, tetapi fikirkan bagaimana kita nak menang di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Pertahanan itu bersama keluarganya di Kampung Tanjong, Rantau di sini hari ini.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN menjelaskan rundingan pengagihan kerusi adalah antara dua blok parti iaitu BN dan PH dan bukannya antara parti-parti politk.

Mengulas mengenai Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihadiri lebih 35,000 orang tetamu hari ini, Mohamad berkata majlis itu kembali meriah tahun ini selepas tiga tahun tidak diadakan akibat pandemik COVID-19.

"Alhamdullilah ramai yang datang sejak 8 pagi tadi, terima kasih diucapkan, menu istimewa disajikan hari ini ialah menu wajib iaitu rendang, pajeri nanas dan gulai tulang. Tahun ini saya tambah lagi menu iaitu gulai perut lembu dan rebung, semua masakan kampung," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan