KUANTAN, 12 Feb (Bernama) -- Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada setiap murid yang disalurkan bermula Januari lepas secara sekali bayar, meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dalam membuat persiapan bagi sesi baharu persekolahan bulan depan.
Bagi suri rumah Nor Zuriani Zamri Cheng, 37, berkata bantuan berkenaan amat besar nilainya bagi dia sekeluarga dalam membuat persiapan persekolahan anaknya yang berusia 11 dan 12 tahun, memandangkan hanya suaminya yang bekerja untuk menyara keluarga.
“Boleh tarik nafas legalah…Nasib baik bantuan ini ada sebab tak lama lagi nak puasa dan raya, dalam masa yang sama pula persiapan untuk persekolahan anak-anak juga perlu dilakukan.
"…dengan bantuan ini dapatlah saya membelikan mereka kasut dan baju baharu untuk digunakan apabila sesi persekolahan bermula nanti," katanya yang telah selesai membeli semua barang keperluan itu.
Sementara itu, seorang pekerja swasta Siti Noraisah Jamaluddin, 37, pula berpendapat pemberian sebanyak RM150 itu mampu mengukirkan wajah "ceria" pada setiap murid apabila sesi persekolahan bermula nanti.
“Tidak semua ibu bapa mampu untuk membeli pakaian dan kelengkapan persekolahan baharu. Ini ditambah lagi jika barang itu jenis berkualiti, memang mahal, kasut dan seluar sukan sahaja sudah mencecah puluhan ringgit.
“Saya sendiri mempunyai dua anak yang bersekolah iaitu darjah satu dan darjah enam, bayangkan berapa modal yang perlu dikeluarkan. Jadi inisiatif ini memang dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan dalam masa yang sama anak-anak juga lebih bersemangat untuk ke sekolah,” katanya.
Inisiatif murni itu turut memberi manfaat kepada Ain Alimi, 34, yang menganggap bantuan itu sebagai "bonus" kepada perbelanjaan sedia ada untuk membeli kelengkapan asas barangan sekolah anaknya yang berusia lapan tahun.
“Tahun lepas saya belanja lebih RM300 untuk kelengkapan sekolah anak, tahun ini dapat jimat dalam RM150 yang boleh digunakan untuk persiapan raya pula…saya harap bantuan ini akan diteruskan kerajaan pada tahun depan,” katanya.
BAP di Pahang melibatkan peruntukan lebih RM35 juta dan telah mula diagihkan kepada 233,860 murid yang menuntut di sekolah sekitar negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial