AM

Tunku Azizah Saran Wanita Pentingkan Kesihatan Agar Dapat Jaga Keluarga

16/02/2024 08:35 AM

KUANTAN, 15 Feb (Bernama) -- Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyarankan golongan wanita mementingkan aspek kesihatan supaya dapat menjaga keluarga dengan baik.

Baginda bertitah wanita merupakan tonggak dalam sebuah keluarga yang memainkan peranan penting melibatkan pelbagai aspek antaranya berkaitan kesihatan keluarga. 

"Saya nak rakyat Pahang semua sihat, kurangkan makan gula, makan sayur kerana kesihatan paling penting, kalau tak sihat macam mana nak jaga rumah tangga kita… semua (ahli) persatuan yang ada jaga kesihatan," titah Tunku Azizah. 

Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan/Jamuan Malam Sempena Memuliakan Keberangkatan Balik Tengku Ampuan Pahang ke Negeri Pahang Setelah Selamat Menyempurnakan Tanggungjawab Sebagai Raja Permaisuri Agong.

Hadir sama Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Pahang Datin Seri Burhah Mohammed, yang juga isteri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Selain aspek kesihatan, Tunku Azizah turut mengingatkan golongan wanita memberikan pendidikan yang baik kepada anak masing-masing, kerana menerusi pelajaran dapat mengubah nasib hidup dan membasmi kemiskinan. 

"Perjuangan kita untuk perkasakan wanita selain anak-anak, kita perlu tentukan mereka ini terima pelajaran demi masa depan, kerana tanpa pelajaran kita tak boleh basmi kemiskinan… ini merupakan tanggungjawab kita sebagai ibu untuk tentukan anak kita menerima pendidikan setinggi yang kita mampu," titah baginda. 

Baginda turut berkongsi hasrat akan berkunjung ke setiap daerah di Pahang, dan akan menerbitkan buku masakan Air Tangan Tengku Ampuan Pahang yang menghimpunkan koleksi resipi daripada 'dapur' baginda sendiri yang telah dikumpul sejak kecil.

Dalam pada itu, Tunku Azizah menzahirkan penghargaan kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sentiasa menyokong dan memberikan galakan kepada baginda dalam melaksanakan pelbagai perkara. 

"Di belakang setiap wanita juga ada seorang lelaki… Tuanku (Al-Sultan Abdullah) beri kepercayaan untuk saya jalankan tugas, saya rasa setiap isteri di sini pun, suami kitalah yang jadi pendorong yang kuat," titah baginda.

Pada majlis itu, Tunku Azizah turut dipersembahkan tarian sewang diikuti nyanyian daripada Dayang Nurfaizah selain baginda berkenan meluangkan masa menyantuni para jemputan.

Majlis berkenaan dihadiri seramai 576 wanita yang mewakili 38 pertubuhan wanita di Pahang.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan