AM

Kpj Tingkatkan Kepakaran, Kemahiran Menerusi Kerjasama Dengan Mayo Clinic

17/02/2024 09:16 AM

PETALING JAYA, 16 Feb (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad meneruskan komitmennya untuk memanfaatkan kepakaran di peringkat global bagi memacu kecemerlangan perubatan dan inovasi penjagaan pesakit, menerusi kerjasama stategik dengan Mayo Clinic, sebuah pusat akademik kesihatan tidak berasaskan keuntungan terkemuka Amerika Syarikat.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata kerjasama bersejarah itu juga menjadikan KPJ Healthcare sebagai penyedia kesihatan pertama di Malaysia menjadi ahli Mayo Clinic Care Network.

Beliau berkata KPJ Healthcare merancang memanfaatkan pengalaman kukuh, sumber yang luas dan amalan terbaik Mayo Clinic untuk meningkatkan kepakaran dan kemahiran penjagaan kesihatan melalui dua hospitalnya iaitu  KPJ Damansara Specialist Hospital (DSH) dan KPJ Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2). 

“Sebagai penyedia rangkaian hospital swasta terbesar, KPJ Healthcare sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan kepada pesakit dan antara langkah terbaik ialah bekerjasama dengan Mayo Clinic, institusi terkemuka dunia dalam penjagaan kesihatan.

“Saya berbesar hati mengumumkan bahawa KPJ Healthcare menerusi dua hospitalnya, KPJ Damansara Specialist Hospital dan Damansara Specialist Hospital 2, akan menjadi sebahagian daripada ahli Mayo Clinic Care Network untuk dua tahun akan datang. DSH akan memanfaatkan kerjasama ini dengan menjadikan Pusat Onkologinya sebagai Pusat Kecemerlangan, manakala DSH2 akan menumpukan kepada jantung dan paru-paru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemeteraian Kolaborasi Strategik KPJ Healthcare Berhad dan Mayo Clinic di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Perubatan Eksekutif Mayo Clinic Bahagian Amalan Antarabangsa dan Asia Pasifik Dr Stacey Rizza.

Menurut Chin kerjasama strategik itu memberikan akses kepada DSH dan DSH2 untuk memanfaatkan sumber klinikal dan perkhidmatan Mayo Clinic yang canggih, termasuklah penjagaan perubatan dan pembangunan profesional.

“Doktor kami di kedua-dua hospital berkenaan juga akan mendapat akses kepada pengetahuan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan operasi, selain sumber dan kepakaran. Ini termasuk peluang untuk berkonsultasi secara terus dengan pakar dan pengamal perubatan di Mayo Clinic, selain akses kepada sumber penyelidikan, diagnostik dan rawatan mutakhir di institusi itu. 

“Secara tidak langsung, pesakit kami turut mendapat manfaat besar apabila doktor mereka di KPJ kini boleh mendapatkan nasihat daripada rakan sejawat di Mayo berkaitan kes mereka,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media Chin berkata kerjasama tersebut juga tertumpu kepada mewujudkan dua pusat kecemerlangan dalam bidang onkologi dan isu jantung/paru-paru untuk memberikan perkhidmatan bertaraf dunia kepada pesakit rakyat Malaysia dan antarabangsa.

Beliau turut menekankan mengenai penyakit kanser yang kini semakin rumit dan kematian pramatang yang berkaitan dengan masalah jantung dan paru-paru, selain menyatakan harapan kerjasama dengan Mayo Clinic akan dapat menangani kebimbangan itu dan memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik.

Dalam pada itu, Dr Stacey berkata DSH dan DSH2 dipilih sebagai ahli Mayo Clinic Care Network yang pertama di Malaysia kerana komitmen ditunjukkan kedua-dua hospital itu dalam memberikan penjagaan kesihatan berkualiti yang memberi tumpuan khusus kepada setiap pesakit.

“Sejak lebih satu setengah tahun lepas, kami telah membiasakan diri dengan ketua, staf dan doktor anda, kami dapati nilai dan budaya kita seiring. Anda telah lulus proses penilaian Mayo Clinic, yang merangkumi penilaian terhadap organisasi, amalan klinikal dan perniagaan, dan usaha ini bagi menjamin kualiti, keselamatan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata melalui kerjasama itu, KPJ Healthcare akan memperoleh akses kepada pengetahuan dan kepakaran perubatan Mayo Clinic sambil mengekalkan autonominya, membolehkan mereka memberikan penjagaan pada tahap tertinggi kepada pesakit dengan akses kepada protokol pengurusan penyakit berasaskan bukti dan garis panduan penjagaan klinikal

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan