SUKAN

Jumlah Lapan Pasukan Tak Jejas Kerancakan, Mutu Mpfl Divisyen 1

18/02/2024 12:09 AM

SHAH ALAM, 17 Feb (Bernama) -- Kemeriahan dan mutu Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 dijangka tidak akan terjejas walaupun hanya lapan pasukan bertanding berbanding sasaran awal iaitu 10 pasukan.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata ia kerana lapan pasukan itu adalah pasukan yang biasa mengambil bahagian dan mempunyai peminat tersendiri.

Beliau berkata khidmat pemain import yang digunakan kebanyakan pasukan juga mampu menyumbang kepada peningkatan prestasi sekali gus dapat menaikkan imej dan daya saing liga.

“Mereka (lapan pasukan) ini pasukan yang biasa dengan liga kita…saya lihat perlawanan pembukaan hari ini amat sengit, di mana mutu permainan (kedua-dua pasukan) hampir sama.

“Kedua-dua pasukan juga ada guna pemain import, jadi kita harap kehadiran mereka (pemain import) serta kualiti mereka dapat bantu pemain tempatan dan tingkatkan mutu liga,” katanya ketika ditemui pada aksi sulung MPFL Divisyen 1 di Kompleks Sukan Shah Alam di sini, hari ini.

Pada masa sama, Rosmadi mengesahkan MPFL Divisyen 2 dijadual berlangsung Mei ini dengan penglibatan tujuh pasukan sekali gus menamatkan teka-teki berhubung status saingan liga itu.

Terdahulu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin merasmikan pelancaran MPFL Divisyen 1 di sini yang disusuli aksi pembukaan antara Shah Alam City dan juara bertahan Pahang Rangers FC yang berkesudahan 6-6.

Enam pasukan lain yang beraksi dalam MPFL Divisyen 1 musim ini adalah Gombak TOT United FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu, KL City FC, Selangor FC dan Sabah FA.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan