POLITIK

Terjemah Kerjasama Grs-ph Di Peringkat Akar Umbi Menjelang Prn Sabah - Upko

18/02/2024 08:56 PM

KOTA KINABALU, 18 Feb (Bernama) -- Kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) perlu diterjemah di peringkat akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata beliau amat mengalu-alukan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Armizan Mohd Ali berkaitan kerjasama GRS dan PH yang sedang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri. 

“Bagaimanapun, masih banyak perkara berkaitan kerjasama ini perlu direalisasikan terutamanya perkongsian pelantikan politik dan resolusi daripada komponen PH yang ingin sokongan daripada kerajaan negeri. Ini semua memerlukan kerjasama,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Armizan yang juga Timbalan Setiausaha GRS berkata beliau berpendirian agar perpaduan sedia ada antara gabungan itu dengan PH diteruskan pada PRN Sabah akan datang.

UPKO adalah parti komponen PH bersama PKR, DAP dan AMANAH.

Ewon berkata setakat ini, belum ada kerjasama ‘tulen’ ketara GRS dan PH khususnya di peringkat akar umbi, bagaimanapun beliau menyerahkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta rakan pimpinan kerajaan negeri termasuk dua wakil PH dalam kabinet Sabah untuk menterjemah kerjasama itu.

Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Hajiji dan pernah mempertahan pemimpin itu ketika krisis politik tahun lepas namun berkata kerjasama GRS dan PH dalam kerajaan negeri perlu terus diperkukuh.

Dalam mendepani PRN Sabah akan datang, Ewon berkata GRS dan PH perlu mengadakan perbincangan baharu bagi merangka pelan lebih segar terutama dalam merealisasi agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertanding.

Ewon berkata situasi PRN Sabah Ke-16 pada 2020 dan politik ketika ini amat berbeza justeru beliau tidak bersetuju dengan pandangan bahawa kerusi DUN tertentu adalah milik mutlak parti tertentu untuk ditandingi pada PRN akan datang.

 “UPKO mempunyai rakan gabungan yang berbeza pada masa itu, begitu juga dengan GRS. Jadi senario telah banyak berubah, sebab itu kita memerlukan perbincangan baharu terutamanya berkaitan pengagihan kerusi pada PRN akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan