KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan syarikat milik penuh Pernas, Malaysia International Franchise Sdn Bhd akan melabur RM62 juta bagi pengembangan Gloria Jean’s Coffees dan 1901 Frankfurters.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata usaha itu bagi menambah 50 cawangan Gloria Jean’s Coffees dan 100 buah cawangan 1901 Frankfurters pada tahun ini sehingga 2029.
Beliau berkata unjuran pulangan jualan (masing-masing) sebanyak RM1.8 juta setahun bagi Gloria Jean’s Coffees dan RM600,000 setahun untuk 1901 Frankfurters dijangka mewujudkan sehingga 900 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.
“Ini sekali gus membuka lebih banyak peluang dan meningkatkan potensi keusahawanan di Malaysia dengan nilai sasaran jualan francais sebanyak RM100 bilion menjelang 2030.
“Saya berharap ini menjadi titik tolak penting dalam mencetuskan minat masyarakat terhadap keusahawanan francais, sekali gus menyumbang ke arah pencapaian aspirasi Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan dan ekonomi negara,” katanya ketika melancarkan premis ‘flagship’ 1901 Frankfurters dan Gloria Jean’s Coffees di Menara Pernas disini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Datuk R Ramanan dan Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin.
Mengulas selanjutnya, Ewon juga menyifatkan langkah itu dapat memastikan ekosistem keusahawanan francais negara ini terus berkembang secara teratur, selaras dengan Dasar Francais Negara 2030 yang sedang dimuktamadkan.
Dasar itu juga sejajar dengan Kerangka Ekonomi MADANI khususnya dalam industri francais negara.
Malah, katanya, Jemaah Menteri turut bersetuju meletakkan pemusatan tadbir urus dan kawal selia industri berkenaan menerusi Akta Francais 1998 di bawah Kuskop bagi menjadikan ekosistem keusahawanan yang lebih holistik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial