KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Sebanyak 41 pasukan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta media telah menyertai Kejohanan Boling Jemputan Worldwide Environment 2024 yang berlangsung di Sunway Pyramid, Selangor, Sabtu lepas.
Worldwide Holdings Bhd (WHB) dalam kenyataan memaklumkan kejohanan anjuran Bahagian Alam Sekitar, Kumpulan Syarikat WHB itu sengit dan meriah kerana disertai hampir 200 peserta selain menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM2,550 serta pelbagai hadiah cabutan bertuah.
“Peserta kejohanan diwakili Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
“Kejohanan itu turut diwakili Tenaga Nasional Bhd (TNB), Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor,” menurut kenyataan itu.
Turut serta ialah wakil daripada PBT dan Pejabat Daerah seluruh Negeri Selangor serta media daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), New Straits Times (NST), Berita Harian (BH), Sinar Harian dan Media Selangor.
Pasukan JPP Strike daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) muncul juara bagi kategori berpasukan dengan 2,359 jatuhan pin, tempat kedua dimenangi Pasukan PADU X daripada UPEN SPBT dengan 2,231 jatuhan pin manakala tempat ketiga pasukan Bernama Digital dengan 1,976 jatuhan pin.
Mohd Ikhzal daripada pasukan JPP Strike memenangi tempat pertama bagi kategori jatuhan pin terbanyak individu lelaki dengan 640 jatuhan pin manakala bagi tempat pertama kategori wanita pula dimenangi Norhayati Mohd Ali daripada pasukan Majlis Perbandaran Hulu Selangor dengan 511 jatuhan pin.
Kejohanan turut menyaksikan dua peserta membawa pulang hadiah khas bagi balingan lima “strike” dalam satu pusingan permainan iaitu Shahril Hafiz daripada JPP Strikes dan Mohd Zaki daripada UPEN SPBT.
Bermula tahun lepas, Bahagian Alam Sekitar WHB kembali aktif menganjurkan pelbagai program yang melibatkan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan seperti perlawanan persahabatan futsal, bola sepak dan badminton.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB Datin Paduka Norazlina Zakaria dalam kenyataan sama berkata kejohanan boling itu, yang kali terakhir dianjurkan pada 2019 sebelum pandemik COVID-19, merupakan platform untuk meraikan kolaborasi serta mengukuhkan jaringan kerjasama yang lebih erat antara Worldwide dengan pihak PBT, agensi kerajaan serta organisasi media.
“Penganjuran semula kejohanan ini juga adalah sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang telah banyak membantu urusan kerja dan operasi perniagaan, serta memberi sokongan berterusan kepada WHB, khususnya di bahagian Pengurusan Alam Sekitar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial