IPOH, 2 Mac (Bernama) -- Keputusan sama ada Perak FC akan menukar venue perlawanan ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) atau kekal di Stadium Perak di sini bagi aksi Liga Super musim 2024/2025 akan diputuskan dalam mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan semua pihak berkaitan bagi menentukan venue terbaik untuk diadakan perlawanan Liga Super itu.
Menurutnya, satu mesyuarat melibatkan Majlis Sukan Negeri (MSN), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Perak FC dan lain-lain agensi sepatutnya berlangsung minggu lepas namun tepaksa ditunda.
"Belum ada keputusan muktamad berhubung penukaran venue perlawanan pasukan Perak FC sama ada di Manjung atau Ipoh setakat ini termasuk kaedah menaik taraf Stadium Perak.. kita tidak putuskan lagi.
"Kita juga ambil maklum saranan pengurusan Perak FC yang mencadangkan agar dinaik taraf sistem saliran sahaja serta keresahan berhubung lampu limpah di Stadium MPM, semua perkara ini akan dibincangkan dan selepas itu barulah keputusan akan dibuat," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Majlis Belia Negeri Perak di Dewan Kompleks Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Perak di sini.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata pihaknya mencadangkan agar pasukan Perak kekal beraksi di Ipoh dan bukannya Manjung.
Bobie Farid turut mencadangkan agar penukaran rumput baharu di Stadium Perak hanya dilaksanakan pada penghujung musim dan menaik taraf sistem saliran terlebih dahulu memandangkan rumput sedia ada masih elok.
Khairudin sebelum ini dilaporkan berkata Stadium MPM dijangka digunakan oleh pasukan Perak FC dalam aksi Liga Super 2024/2025 yang bermula Mei nanti sementara menanti kerja-kerja naik taraf sistem saliran dan penukaran rumput di Stadium Perak selesai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial