Tempoh 11 Feb hingga penghujung Mac 2013 merupakan antara detik hitam dalam sejarah negara apabila kedaulatan tanah air dicabul oleh sekumpulan pengganas Sulu dari selatan Filipina yang menceroboh wilayah pantai timur Sabah.
Kehadiran ratusan militan Sulu itu dikesan pada 11 Feb di Kampung Tanduo, sebuah perkampungan kecil pinggir laut di Felda Sahabat yang terletak kira-kira 120 kilometer dari bandar Lahad Datu, sebelum mereka berpecah kepada beberapa kumpulan kecil yang kemudian menyusup ke kawasan lain termasuk daerah berjiran, Semporna.
Usaha kerajaan untuk menamatkan pencerobohan itu secara aman menemui kegagalan, dan pada 1 Mac berlaku pertempuran sengit di antara pasukan keselamatan negara dan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, yang turut mengorbankan dua perwira negara.
Insiden berdarah tersebut tidak berakhir di situ, dan pertempuran demi pertempuran yang berlaku sepanjang bulan berkenaan menyaksikan 13 anggota pasukan keselamatan gugur ketika mempertahankan tanah air.
pic-2
Di pihak militan pula, 68 kematian dilaporkan dengan lebih 100 pengganas berjaya ditangkap.
Sebelas tahun berlalu, dan seiring dengan pemantapan kawalan keselamatan di pantai timur Sabah, Lahad Datu yang sebelum ini digelar “bandar perang”, kini pesat membangun, terutama dari segi ekonomi, meskipun detik hitam itu kekal dalam ingatan penduduk setempat khususnya, dan Malaysia, amnya.
LAHAD DATU BANGKIT
Berkongsi tentang kebangkitan Lahad Datu dengan Bernama, Pegawai Daerahnya Firuz Idzualdeen Benetty Mohd Dzul berkata penubuhan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) merupakan langkah kritikal kerajaan dalam membantu daerah itu berada di tahap sekarang.
ESSCOM “memagar” Lahad Datu bersama-sama penempatan pos keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengukuhkan lagi kawalan di sepanjang sempadan daerah termasuk kawasan perairan, katanya.
pic-3
Tambah beliau, kehadiran kapal Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di lokasi strategik, meningkatkan lagi keyakinan penduduk dan orang luar khususnya yang mahu berkunjung ke sini.
“Keyakinan terhadap jaminan keselamatan di perairan Lahad Datu ini dicerminkan dalam penilaian oleh Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Kegiatan Lanun dan Rompakan Kapal di Asia (ReCAAP) baru-baru ini.
“Dalam laporan itu, ReCAAP menurunkan tahap ancaman keselamatan, terutama ancaman penculikan untuk wang tebusan di Laut Sulu-Sulawesi daripada tinggi kepada sederhana,” kongsi beliau.
Tambah Firuz Idzualdeen lagi, dalam tempoh empat tahun belakangan ini juga tidak ada kes penculikan bagi wang tebusan direkodkan di perairan negara, hasil daripada pelbagai operasi yang diselaraskan oleh ESSCOM.
"Kini pelbagai program kerakyatan dilaksanakan di Lahad Datu dan penganjuran aktiviti sosial ini juga merupakan satu tanda bahawa daerah ini aman sejahtera dan selamat dikunjungi," katanya.
PROSPEK PELABURAN, PELANCONGAN
Bercerita lanjut, Firuz Idzualdeen berkata selepas tragedi Tanduo, banyak pemain industri dan pelabur menarik diri dan meninggalkan Lahad Datu.
“Pelancong juga tidak berani datang, namun sejak beberapa tahun lalu, keadaan di Lahad Datu ini lebih harmoni dan wujud banyak ruang perniagaan. Pelabur, pelancong juga sudah kembali ke sini. Sektor hartanah juga semakin pesat.
"Kita giatkan usaha menarik semula pemain industri dan mereka datang kembali kerana Lahad Datu ini memiliki banyak peluang ekonomi, selain kedudukan yang strategik dari segi pelancongan,” tambah beliau.
pic-4
Kata beliau, selain memiliki hutan simpan tertua dengan pelbagai hidupan liar, lokasi selaman yang cantik dan pantai terpanjang, di Lahad Datu ini juga terletak titik paling timur atau lokasi terawal menerima cahaya matahari di Malaysia.
Menurutnya, kedatangan pelancong ke daerah itu meningkat berkali ganda pada 2023, iaitu seramai 921,038 orang berbanding 121,237 pada tahun sebelumnya yang direkodkan masuk menerusi Lapangan Terbang Lahad Datu.
“Pada tahun lepas, kita merekodkan ketibaan lebih 10,000 pelancong dari luar negara dengan lokasi tumpuan adalah Taman Hidupan Liar Tabin, Lembah Danum dan lokasi selaman di Teluk Darvel, iaitu Blue Reef Ring.
"Kehadiran pelancong di Lahad Datu begitu menggalakkan, sebagai bukti, walaupun lapangan terbang kita kecil, penerbangan dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu dan sebaliknya sentiasa penuh. Begitu juga perjalanan menggunakan jalan darat,” katanya.
Menurut beliau lagi, Pelabuhan Lahad Datu juga mula menerima kemasukan kapal dagang dan penumpang dari Pelabuhan Tanjung Silopo Poliwali Mandar Sulawesi Barat, Indonesia sejak Disember tahun lalu.
“Tidak lama lagi kami juga akan menerima kemasukan kapal dagang dari Filipina,” katanya, menambah daerah itu juga menarik perhatian pelabur dari Singapura, Jepun dan Korea Selatan yang sedang mengintai peluang melabur, khususnya dalam Kluster Industri Minyak Sawit (POIC).
"Kita dapat kunjungan hormat daripada Singapura, dan dijangka Jepun serta beberapa negara lain akan datang ke Lahad Datu untuk menilai dahulu keupayaan daerah kita dengan hasrat membina kilang di sini. Pelabuhan kita juga boleh menampung kapal besar,” katanya.
IMPAK POSITIF KESELAMATAN
Sementara itu, Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata usaha ESSCOM dalam menyelaraskan operasi keselamatan bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia, ATM dan APMM, memberi impak ketara dalam lonjakan ekonomi di Lahad Datu.
Bagi mengukuhkan kawalan keselamatan, beliau berkata kerjasama rapat dibentuk melalui perkongsian maklumat hasil risikan dengan pihak berkuasa negara tetangga, iaitu Western Mindanao Command, Armed Forces of the Philippines (Westmincom, AFP) serta pasukan polis Filipina dan Indonesia.
Katanya, hasil kerjasama rapat itu, ESSCOM berjaya menumpaskan sel Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan Kumpulan Kidnap for Ransom (KFRG) di daratan dan perairan Sabah.
ESSCOM juga terlibat dalam mekanisme kerjasama pelbagai hala Perjanjian Kerjasama Trilateral Malaysia-Indonesia-Filipina (TCA) yang berperanan menyelaras tindakan penguatkuasaan di laut dan memastikan sempadan perairan ketiga-tiga negara tersebut selamat daripada ancaman jenayah rentas sempadan.
"Secara relatifnya, ketika ini kawasan ini kekal stabil dengan ESSCOM, atas kerjasama pasukan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone), berhasil mengekalkan rekod sifar insiden penculikan sejak 15 Jan 2020 hingga kini.
“Rekod berkenaan adalah petunjuk kejayaan kerajaan dalam menangani aktiviti penculikan di sempadan perairan negara," katanya.
KEKANG ANCAMAN
Dalam tempoh 2000 hingga 2020, sebanyak 25 kes penculikan direkodkan di pantai timur Sabah termasuk Lahad Datu, namun menurut Victor, trend tersebut berubah apabila ESSCOM mula menyelaraskan Operasi Sanggah dan operasi lain dengan pasukan keselamatan di ESS Zone.
"Kekerapan operasi bersepadu berhasil mengekang ancaman anasir luar untuk masuk atau bertapak di negara ini. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh ESSCOM, potensi ancaman militan atau aktiviti penculikan di sempadan perairan negara berada pada tahap terkawal.
"Perkembangan tersebut dibantu oleh operasi ketenteraan dan tindakan penguatkuasaan pihak keselamatan Filipina yang melemahkan aktiviti atau gerakan ASG atau KFRG. Selain itu, pengaruh dan gerakan kumpulan berkenaan untuk bergiat aktif di pantai Timur Sabah turut menurun,” katanya.
Beliau memberitahu pihaknya turut berjaya mematahkan rancangan penjenayah untuk melancarkan serangan secara domestik dan rentas sempadan.
Bagi menjaga keselamatan pelancong yang merupakan “aset” negara, Victor berkata pihaknya membangunkan aplikasi Friend of Sabah yang akan dilancarkan tahun ini.
"Pelancong akan diminta memuat turun aplikasi ini yang bertujuan memudahkan mereka membuat laporan kepada pihak berkuasa jika berdepan ancaman jenayah semasa bercuti di negeri ini. Tujuan aplikasi ini bukan untuk menjejak pelancong tapi bagi menjamin keselamatan mereka.
“Apabila berlaku kecemasan, seseorang itu hanya perlu tekan satu butang pada aplikasi dan maklumat akan terus sampai ke Pusat Operasi ESSCOM, sekali gus memudahkan kita mengesan mereka,” jelasnya.
Menurutnya, ESSCOM juga bersedia memberi taklimat kepada kedutaan asing bagi menjelaskan situasi keselamatan di Lahad Datu dan pantai timur Sabah agar pihak kedutaan dapat mengemas kini notis perjalanan berkaitan pantai Timur Sabah.
"Sasaran kita bukan sahaja pelancong tetapi juga pelabur, POIC sudah diisytihar sebagai kawasan perdagangan bebas, kalau pelabur tidak datang maka tiada makna. Jadi ini tanggungjawab pasukan keselamatan memastikan bahawa situasi pelaburan kondusif, selamat terjamin dan memberi pulangan kepada pelabur," katanya.
LEBIH SELAMAT
Usaha yang diambil oleh pihak berkuasa amat dihargai oleh penduduk setempat kerana mereka kini tidak lagi gusar untuk keluar mencari rezeki.
“Sebelum ini memang risau mahu turun ke laut cari rezeki, juga risau mahu keluar waktu malam disebabkan kampung kami ini dekat sangat dengan laut. Tetapi bila pasukan keselamatan buat rondaan, (kita) sudah tidak takut dan kita boleh kembali cari rezeki seperti biasa,” kata Mohd Shah Abd Hassan yang tinggal di Kampung Bakapit, iaitu antara kampung di Felda Sahabat.
Mohd Shah, 57, berkata situasi itu secara langsung membantu penduduk meningkatkan kegiatan ekonomi mereka.
pic-5
Bagi Abd Hamid Abd Rasyid pula, kejayaan ESSCOM menumpaskan kegiatan jenayah, terutama kes cubaan culik, memperlihat kesungguhan pihak berkuasa dalam memastikan Lahad Datu kekal selamat.
“Sejak 2020 tiada lagi sudah (kita dengar pasal penculikan), jadi ini penting untuk tingkat keyakinan pelancong dan orang ramai bahawa kawasan ini selamat untuk dikunjungi.
“Tetapi, jangan berhenti setakat ini. Sebolehnya tingkatkan lagi kawalan dengan menambah pos kawalan untuk tunjuk kita ini kawasan selamat,” kata penduduk Kampung Ulu Segangan itu.
Abd Hamid, 60, berharap dengan kembalinya keyakinan pelancong dan pelabur terhadap Lahad Datu, daerah tersebut dapat membangun lebih pesat dan memberi limpahan ekonomi kepada penduduknya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial