SUKAN

Speedy Tigers Uji Kekuatan Dengan New Zealand 1 Mei Depan

19/03/2024 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Skuad hoki senior lelaki kebangsaan bakal berdepan perlawanan pemanas badan menentang New Zealand sebelum berentap dalam aksi Piala Sultan Azlan Shah, Mei depan. 

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Sarjit Singh berkata perlawanan persahabatan yang bakal berlangsung pada 1 Mei di Ipoh, Perak itu adalah bagi menguji kekuatan skuad Speedy Tigers yang ‘berwajah’ baharu sebelum beraksi di Piala Sultan Azlan Shah yang akan bermula dari 4 hingga 11 Mei ini.

“Pasukan New Zealand akan tiba di Malaysia pada 28 April dan kita akan adakan satu perlawanan, mereka akan berentap di Sukan Olimpik, jadi kita akan cuba main dengan mereka.

“Kita juga akan cuba aturkan perlawanan bersama Pakistan sebab kemungkinan kita akan bermain dengan mereka dalam satu pool di Piala Negara-Negara,” katanya kepada pemberita pada hari pertama sesi latihan skuad Speedy Tigers di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini. 

Speedy Tigers turut dijadual membawa cabaran negara pada kejohanan Piala Negara-Negara di Poland dari 30 Mei hingga 1 Jun depan.

Mengulas sesi latihan malam ini, Sarjit berkata 42 pemain telah melaporkan diri. 

“Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim akan lapor diri lambat sedikit, Perabu Tangaraja tarik diri pada saat-saat akhir kerana hal peribadi, Muhammad Arif Syafie Ishak dan Andywalfian Jeffrynus cedera dan belum pulih manakala Faizal Saari beraksi di Bangladesh dan akan kembali pada 15 April depan.

“Muhammad Syafiq Hassan menggantikan Perabu, dia ada hubungi saya untuk meminta diberikan peluang dan saya beri peluang kepadanya,” kata beliau. 

Minggu lepas, Sarjit telah memanggil 46 pemain daripada pasukan dalam Liga Hoki Malaysia bagi menyertai sesi latihan yang bermula hari ini hingga 30 Mac. 

Beliau berkata kem latihan itu bertujuan melihat kebolehan setiap pemain sebelum mereka dimuktamadkan kepada 30 orang bagi membentuk wajah baharu Speedy Tigers untuk mengharungi saingan Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara di Poland. 

Sarjit berkata semua pemain akan dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk berentap sesama sendiri dalam lapan perlawanan sebelum senarai penuh skuad negara dikeluarkan pada 1 April. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan