AM

Perlis Akan Cadang Pintu Sempadan Padang Besar Dibuka Hingga 12 Tengah Malam

20/03/2024 08:57 AM

PADANG BESAR, 20 Mac (Bernama) -- Kerajaan Perlis akan mengusulkan cadangan pintu sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, dapat beroperasi sehingga pukul 12 tengah malam berbanding setakat pukul 10 malam sahaja pada masa ini, kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis Izizam Ibrahim berkata pihaknya akan menyediakan kertas cadangan tersebut untuk dipertimbangkan KDN, dengan proses menyiapkan kertas itu dijangkakan bermula selepas raya nanti.

“Saya akan buat secepat mungkin tetapi ingat selepas raya, kena buat satu kajian semua peringkat (terlebih dahulu), (kena ada) dua tiga kali juga mesyuaratlah, macam mana pun tahun ini kita akan minta (kepada KDN), saya rasa peringkat (Kerajaan) Pusat tak ada masalah, akan beri kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program MADANI Ihya Ramadan Bilateral Malaysia-Thailand Peringkat Negeri Perlis 2024 di Masjid Ahmad, di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis Arif Helmi Junid dan Ketua Penolong Pengarah (Keselamatan) Seksyen Keselamatan Pembangunan Sempadan Malaysia-Thailand Lt Kolonel Mohamad Noh Abdul Kader.

Izizam berkata selain itu, melalui kertas cadangan itu juga pihaknya akan mengesyorkan supaya pintu sempadan Malaysia-Thailand di ICQS Wang Kelian dekat sini, dapat dibuka sehingga pukul 8 malam berbanding hanya setakat pukul 7 malam ketika ini.

Beliau berkata kerajaan negeri berpendapat cadangan melanjutkan tempoh operasi pintu sempadan negara di Padang Besar dan Wang Kelian itu, sebagai usaha untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi di Perlis selain merancakkan sekor pelancongan di negeri itu bersempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan