AM

Kesedaran Letak Tanda Harga Meningkat Dalam Kalangan Peniaga Bazar Di Melaka

29/03/2024 11:07 AM

MELAKA, 29 Mac (Bernama) -- Tahap kesedaran meletakkan tanda harga semakin meningkat dalam kalangan peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di negeri ini, menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar.

Beliau berkata ia secara tidak langsung membuktikan program advokasi, penguatkuasaan dan pemantauan yang dilakukan agensi tersebut berkesan menerapkan kesedaran dalam kalangan peniaga.

"Kita nampak peningkatan itu sangat tinggi berbanding tahun lepas terutama apabila pengguna sendiri memainkan peranan dengan cara tidak memasuki kedai yang tidak meletakkan tanda harga bagi mengelak ditipu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan Op Samar Bazar KPDN di Bazar Aidilfitri MITC Ayer Keroh di sini, semalam.

Mengenai Op Samar yang bermula semalam, Norena berkata dua peniaga masing-masing dikenakan kompuan RM200 selepas gagal mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan. 

"Sejak 1 Ramadan lepas kita telah melakukan Op Pantau dengan memeriksa 2,200 premis perniagaan di bazar Ramadan dan di situ kita memberikan advokasi mengenai penggunaan tanda harga dan tiada kompaun dikenakan, namun kompaun akan dikenakan ketika Op Samar ini,” katanya.

Menurutnya Op Samar diteruskan hingga akhir Ramadan ini dengan 10 pasukan penguat kuasa KPDN Melaka akan melakukan pemantauan di kesemua bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan