KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Malaysia bersedia menjadi kuasa besar dalam sektor tenaga bersih dan boleh diperbaharui di rantau Asia Tenggara, terutamanya apabila permintaan terhadap tenaga elektrik semakin meningkat dengan kemunculan industri berteknologi tinggi, menurut pemain industri.
Pengerusi OCI Holdings Ltd., Lee Woo-Hyun berkata terdapat banyak faktor yang menjadikan Malaysia prospek menarik untuk pelaburan tenaga antaranya adalah lokasi geografinya yang strategik, modal insan berpontensi dan dasar kondusif yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Beliau berkata di sebalik beberapa ketegangan geopolitik masa kini, terdapat banyak pemain industri mencari kestabilan untuk membina rangkaian rantaian bekalan mereka di peringkat global dan Malaysia menjadi pilihan kerana ia adalah negara berkecuali dan bebas daripada sebarang konflik antarabangsa.
“Oleh itu, negara ini mempunyai banyak potensi untuk tenaga bersih. Apabila sebuah negara beralih ke arah industri berasaskan sumber asli untuk menambah nilai kepada perniagaan, ia memerlukan pelbagai tahap kemahiran berbeza dalam kalangan modal insan,”katanya pada forum "Masa Depan Tenaga Bersih" sempena Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini hari ini.
Oleh itu, katanya, Malaysia perlu mengambil inisiatif untuk melatih kumpulan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk tenaga bersih dan industri teknologi tinggi yang sedang pesat membangun.
Lee berkata wujud ketidaksepadanan kemahiran dan ketidaksesuaian kelayakan graduan dengan keperluan industri, namun masih ada ruang untuk merapatkan jurang tersebut.
Sementara itu, Ketua Tenaga dan Kuasa Bersih Asia Pasifik Google, Giorgio Fortunato, ahli panel forum tersebut, berkata landskap tenaga sesebuah negara adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi digital kerana syarikat teknologi bergantung kepada bekalan tenaga elektrik stabil dan boleh dipercayai untuk mengendalikan pusat data mereka dengan berkesan.
"Kami berada dalam detik peralihan ini di mana kami melihat banyak pasaran di seluruh Asia Pasifik mencipta rangka kerja dasar baharu, mewujudkan cara baharu di mana pengguna tenaga seperti kami boleh memperoleh tenaga bebas karbon.
“...tidak ada cara yang lebih baik untuk mengendalikan pusat data selain dengan tenaga bersih,” katanya.
Furtunato berkata gergasi teknologi itu komited untuk menyediakan peluang kemahiran untuk 300,000 rakyat Malaysia menjelang 2026, meneroka potensi penubuhan pusat data untuk perkhidmatan digitalnya, mempercepatkan inovasi kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan daya saing ekonomi dan membangunkan Dasar Awan Pertama untuk ekonomi AI.
Menurutnya ia adalah tonggak utama kerjasama dipersetujui dengan Malaysia dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai tahun lepas yang merupakan sebahagian daripada inisiatif syarikat untuk memupuk pertumbuhan dalam semua bentuk perniagaan bagi menjadi lebih berdaya saing dalam ekonomi digital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial