AM

Mcmc Tolak Tohmahan Tidak Berasas Hunter, Buat Laporan Polis

29/04/2024 10:43 PM

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menolak sekeras-kerasnya tohmahan tidak berasas seorang penulis blog Murray Hunter yang menuduh agensi itu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai institusi berlandaskan politik dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan penulisan Hunter dilihat berunsur fitnah apabila beliau secara terbuka menuduh MCMC bertindak melangkaui bidang kuasanya untuk kepentingan diri, selain melemparkan tohmahan bahawa MCMC dan PDRM bertindak menakut-menakutkan masyarakat.

“Sebagai sebuah badan berkanun, MCMC melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) dan kesemua undang-undang subsidiari yang terkandung didalamnya.

“Segala tindakan penguatkuasaan yang diambil MCMC mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan sebagaimana termaktub dalam bidang kuasa MCMC sebagai pengawal selia industri komunikasi dan multimedia negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain ialah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998 dan tindakan memuat naik kandungan yang memfitnah dan menghina MCMC juga satu kesalahan.

“Sekiranya Murray Hunter mempunyai sebarang aduan terhadap MCMC, beliau perlu tampil untuk membuat aduan melalui saluran rasmi,” menurut MCMC.

MCMC telah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya ke atas Hunter.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan