DUNIA

Anwar Sampaikan Amanat Tegas Di Sidang Kemuncak G20 Untuk Negara Terpinggir

22/11/2024 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) – Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan mesej yang tegas pada Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil, dengan mengetengahkan ketidakadilan ketara yang dialami oleh negara-negara lemah dan terpinggir.

Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Prof Datuk Dr Mohd Faiz Abdullah berkata intervensi Anwar dalam dua sesi sidang kemuncak itu membawa mesej jelas dan serius.

“Beliau menyampaikan hujah dengan bahasa yang boleh disifatkan sebagai limpahan perasaan yang kuat, meluahkan "kemarahan suci" terhadap ketidakadilan ketara yang dilakukan terhadap negara dan komuniti yang lemah dan terpinggir, serta ketaksuban  dan kepura-puraan secara terang-terangan pihak Utara Global terhadap Selatan Global,” katanya.

Dalam mengkritik kuasa besar dunia atas sikap tidak peduli dan hipokrasi mereka dalam tadbir urus global, Mohd Faiz berkata Anwar menegaskan bahawa kegagalan institusi antarabangsa berpunca daripada ketempangan sistem yang mengekalkan ketidaksamaan dan penindasan.

 “Pendek kata, Perdana Menteri menyeru supaya mereka berhenti bersandiwara dan mengotakan apa yang dikatakan, satu mantera yang saya percaya seharusnya menjadi satu perbendaharaan kata aktif Anwar terutamanya apabila diwawancara oleh media 'musang berbulu ayam',”katanya.   

Mohd Faiz berkata Anwar turut membangkitkan ketaksaksamaan sistemik dalam institusi seperti Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dan rangka kerja Bretton Woods.

Tanpa berselindung, katanya, Perdana Menteri menyelar anggota tetap Majlis Keselamatan kerana menyalahgunakan kuasa veto mereka sehingga menggagalkan tindakan yang amat diperlukan terhadap isu global yang mendesak, sekali gus menenggelamkan suara kolektif negara-negara yang kurang berkuasa.

Genosid di Gaza dan kekejaman di Lubnan yang berterusan, katanya, memperlihatkan kegagalan mekanisme antarabangsa dalam menghentikan pertumpahan darah, apabila Majlis Keselamatan tidak mampu menuntut Israel dan sekutunya supaya bertanggungjawab.

Secara keseluruhannya, Mohd Faiz berkata Malaysia kekal konsisten dan jelas dalam memperjuangkan reformasi tadbir urus pelbagai hala dan perdagangan yang adil, baik pada Sidang Kemuncak APEC mahupun G20 pada bulan ini.

"Imperatif ini mencerminkan aspirasi dan kedudukan Malaysia yang semakin berkembang sebagai pembina jambatan antara Utara dan Selatan Global, sambil menyelaraskannya dengan keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025,” katanya.

Bagi ASEAN, terutama di bawah kepimpinan Malaysia, beliau berpendapat sudah hampir tiba masanya untuk sokongan diterjemahkan menjadi tindakan.

Walaupun semakin penting dalam perdagangan dan geopolitik global, ASEAN sering dikritik kerana kekurangan tindakan yang bersatu dan tegas, dengan keutamaan pusatnya diuji oleh realiti kesepaduan.

“Kali ini, di bawah kepimpinan Perdana Menteri kita yang dinamik dan kadang-kadang lantang bila perlu, Malaysia berkemungkinan mampu menangani perpecahan ini, dengan menggerakkan blok itu ke arah visi bersama untuk reformasi global yang memberi keutamaan kepada suara dan keperluan negara-negara Selatan Global yang lebih miskin, dan bukannya kehendak dan tuntutan Utara Global yang kaya dan berkuasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan