AM

TIDAK PENUHI SYARAT PERJAWATAN SUKARKAN GURU KAFA DISERAP KE JAWATAN TETAP

09/12/2024 12:49 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar menjelaskan kesulitan menyerap guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kepada perjawatan gred tetap adalah kerana syarat yang tidak dipenuhi seperti masa bekerja mereka.

Beliau berkata keperluan perkhidmatan guru KAFA adalah selama tiga hari dan ia tidak memenuhi syarat untuk menyerap mereka dalam skim perjawatan tetap.

"Oleh kerana syarat-syarat itu tidak dipenuhi lagi, jadi di situ ada kesulitan dalam konteks untuk menyerapkan guru-guru KAFA ini kepada gred yang tetap," katanya bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai faktor mengekang guru KAFA diserap dalam skim perjawatan tetap pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Na'im berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa mengadakan perbincangan serta berusaha untuk memastikan kebajikan guru KAFA terjamin termasuk berhubung kenaikan elaun.

Menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin tahu mengenai kenaikan gred bagi penyelia KAFA, Mohd Na'im berkata JAKIM dalam sesi rundingan bersama agensi Persekutuan bagi mencari kaedah terbaik berhubung peningkatan profesionalisme dan jaminan kebajikan penyelia KAFA.

Beliau berkata setakat ini, terdapat 383 penyelia program KAFA yang telah dilantik secara sambilan sejak 1990.

Menurut Mohd Na'im, pelantikan secara perkhidmatan kontrak di JAKIM hanya bermula pada 2009 dan penyelia KAFA yang dilantik bersandarkan Skim Perkhidmatan Pembantu Hal Ehwal Islam Gred S19 berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan