AM

Malaysia Menuju Negara Hebat Dengan Tatakelola Telus Berteraskan Nilai MADANI -- Anwar

03/01/2025 11:51 AM

PUTRAJAYA, 3 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kejayaan besar yang dicapai oleh kerajaan dalam tempoh dua tahun pentadbirannya adalah pelaksanaan tatakelola telus yang bebas daripada skandal besar.

Beliau berkata Malaysia merupakan sebuah negara "hukum" dan segala keputusan dibuat berdasarkan tatakelola yang baik, selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai-nilai murni.

“Negara ini negara hukum dan kita harus ambil keputusan berdasarkan tatakelola yang baik … dan MADANI ini menekankan soal nilai, jadi jangan kita umpamanya, terheret dengan perbincangan yang lain," kata beliau.

Justeru, Anwar menyeru kepada penjawat awam agar terus fokus terhadap usaha meningkatkan ekonomi dan prestasi negara.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri turut optimis bahawa semangat serta kesatuan penjawat awam dan rakyat mampu membawa Malaysia ke tahap unggul di rantau ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Percayalah saudara-saudari, beri satu, dua tahun. Kalau semangat begini rupa, pengiktirafan begini rupa dan kesatuan semangat kita, saya percaya kita akan saksikan Malaysia itu sebagai negara hebat di rantau ini. Saya yakin,” kata beliau.

Anwar juga bersyukur kerana selama dua tahun pentadbiran beliau menerajui Malaysia, tiada skandal besar yang berlaku.

“Sementara kita tekankan soal tatakelola yang saya anggap satu kejayaan, orang banyak cerita tentang kes-kes lama. Saya nak sebut, dalam dua tahun ini, saya syukur kepada Allah SWT kerana kita menjalankan proses tender yang telus dan tidak ada satu skandal besar yang pernah diungkapkan sepanjang dua tahun ini,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar menyeru agar perkhidmatan awam memikirkan pendekatan reformasi menyeluruh dalam usaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan khidmat kepada rakyat.

“Apakah perlu kita kumpul, kita bincang bersama, kita nilai prestasi masing-masing, kita beri pengiktirafan, kita berikan idea baharu. Itu kita fikirkan bersama,” kata beliau.

Anwar turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memulakan sesi permukiman Jemaah Menteri dalam beberapa minggu akan datang, dengan tumpuan bagi membaiki kelemahan dan meningkatkan tahap kesungguhan dalam pentadbiran.

Semua pejabat kerajaan, sekolah dan institusi katanya, perlu memulakan perbincangan mendalam setiap bulan bagi mencari kaedah meningkatkan keupayaan dan membaiki kelemahan dalam perkhidmatan awam.

“Pada 10 minit awal terangkan kejayaan, 50 minit berikutnya cara untuk kita tingkatkan keupayaan, membaiki kelemahan-kelemahan yang ada, dan memberikan khidmat serta prestasi terbaik kepada rakyat.

“Apabila saya maksudkan rakyat, jangan lupa bahawa masih ada yang terpinggir, masih ada yang miskin, masih ada yang tersisih. Dan percayalah, ia tidak harus memberikan keselesaan dan ketenangan kepada kita selagi ada warga yang tersisih,” kata beliau.

Anwar turut menyatakan kebimbangannya terhadap perbincangan isu kaum dan agama yang sempit, justeru menyeru penjawat awam agar memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Orang yang menjaga wilayah atau negeri, tidak kira siapa yang perintah, kaum mana yang tersisih. Tanggungjawab kita ialah menghargai setiap warga sebagai tanggungjawab kita, dan warna kulit tidak mempengaruhi kita.

“Kalau dia (rakyat) masuk kategori miskin tegar, dia harus ditangani. Kalau perlu diberikan pengiktirafan, berikan pengiktirafan,” kata beliau yang turut menegaskan bahawa prinsip perlembagaan termasuk kedudukan bahasa, agama, serta hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, kekal menjadi asas kepada dasar negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan