AM

Pelancaran Borneo.TV Angkat Naratif Sabah Ke Peringkat Global

01/07/2025 02:58 PM

KOTA KINABALU, 1 Julai (Bernama) -- Sabah mengorak langkah dalam dunia penyiaran digital dengan pelancaran Borneo.TV, platform penstriman baharu yang mengetengahkan wajah, suara dan budaya negeri, oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.

Hajiji berkata platform dengan slogan "Cerita Sabah di Mata Dunia" itu bakal menjadi saluran utama menyampaikan kandungan sahih, dokumentari asli, seni budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah melalui pendekatan digital yang lebih moden, fleksibel dan global.

"Gaya hidup masyarakat hari ini daripada komunikasi hingga hiburan, segalanya dipacu digital. Justeru, Borneo.TV adalah respons tepat kepada perubahan ini dan peluang untuk kita tampil dengan kandungan sendiri.

"Ini bukan sekadar pelancaran media digital, tetapi satu pentas untuk anak-anak Sabah berkarya dan membentuk citra negeri melalui naratif sendiri," katanya ketika melancarkan Borneo.TV di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan IB Media Consultant Work Sdn Bhd, syarikat pengendali Borneo.TV yang beroperasi tanpa sebarang dana kerajaan negeri.

Hajiji berkata pelancaran platform penyiaran itu adalah langkah tepat dalam era media penstriman over-the-top (OTT) yang tidak lagi bergantung kepada saluran konvensional, selain memberi peluang kepada pencipta kandungan tempatan menembusi pasaran lebih luas.

Beliau berkata kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan Borneo.TV kerana ia bukan sahaja platform penyiaran, malah medium strategik menyampaikan cerita sebenar rakyat Sabah kepada dunia.

"Dunia penyiaran hari ini menuntut kreativiti, keberanian dan kepekaan terhadap kehendak penonton. Saya mahu Borneo.TV jadi ruang untuk mencabar norma, mengetengahkan idea baharu dan memperkenalkan wajah sebenar Sabah.

"Model pelaksanaan ini membuktikan komitmen dan kepercayaan sektor swasta terhadap potensi penyiaran digital di Sabah. Saya yakin pendekatan ini akan meletakkan ia sebagai platform yang berdaya saing dan mampan," jelasnya.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Sekretariat SMJ dan IB Media atas kejayaan merealisasikan pelaksanaan Borneo.TV di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0, yang menekankan pembangunan sektor ekonomi kreatif sebagai salah satu pemacu utama negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan