BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 DUNIA

Ringgit Ditutup Lebih Rendah Menjelang Tarikh Akhir Tarif AS

02/07/2025 08:10 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan harapan perjanjian perdagangan dapat dicapai menjelang tarikh akhir tarif AS, semakin suram dan menjejaskan sentimen pelabur.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2245/2305 berbanding dolar AS daripada 4.1995/2005 ketika ditutup pada Selasa.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit yang mencatat momentum kukuh sejak beberapa minggu lepas, kini diasak tekanan apabila pasaran bersiap sedia bagi tarikh akhir tarif pada 9 Julai dengan Presiden AS Donald Trump menyatakan tarikh itu tidak akan dilanjutkan.

“Berikutan tarikh akhir yang semakin hampir, menyebabkan pasaran sedang beralih kepada mod bertahan.

“Urus niaga pasaran tukaran asing Asia seperti dalam keadaan tertekan, (dalam sentimen) berhati-hati, memberi tindak balas serta tidak pasti mengenai sumber cabaran seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata pendirian tegas Trump terhadap Jepun, terutama mengenai beras dan kenderaan telah mencetuskan lagi ketegangan serantau, manakala nada yang lebih lembut terhadap India kekal menyebabkan kekaburan dalam hubungan diplomatik.

“Sehingga isyarat yang lebih jelas muncul, pasaran dijangka kekal perlahan dan sentiasa berhati-hati,” katanya.

Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit menyusut berbanding pound Britain kepada 5.7859/7941 daripada 5.7797/7866, dan berkurang berbanding euro kepada 4.9748/9818 daripada 4.9566/9625 semalam.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9316/9360 daripada 2.9351/9389.

Mata wang tempatan juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit merosot berbanding rupiah Indonesia kepada  259.9/260.5 daripada 258.9/259.4, susut berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada 7.45/7.46, berkurang berbanding dolar Singapura kepada 3.3167/3217 daripada 3.3015/3059, dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.0233/0482 daripada 12.9363/9585 sebelumnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan