SUKAN

TFC Rekrut Penyerang Import Baharu Hadapi Saingan Liga Malaysia

04/07/2025 11:04 AM

KUALA TERENGGANU, 4 Julai (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) terus memperkukuh barisan serangan dengan kemasukan seorang lagi pemain import kelahiran Perancis Yann Kevin Mabella untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/26.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata pemain berusia 29 tahun itu telah menandatangani kontrak semusim dengan skuad Penyu.

Beliau berkata sebelum berhijrah ke Terengganu, pemain berketinggian 1.83 meter itu beraksi bersama kelab Racing FC Union di Liga Luxembourg dan mewakili skuad kebangsaan Congi dalam beberapa siri perlawanan antarabangsa termasuk kelayakan Piala Afrika.

"Yann (Yann Kelvin Mabell) pemain import keempat yang kita tandatangani untuk musim ini selepas Nurillo Tukhtasinov, Junior Ngong Sam dan Gabriel Silva Costa.

"Antara faktor pemilihan beliau ialah prestasi cemerlangnya yang telah menjaringkan 22 gol dalam 29 perlawanan di Liga Luxembourg musim lepas dan menjadi watak penting dalam kelayakan Europa Conference League," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Syahrizan berkata kehadiran Mabella dapat memberi lebih pilihan taktikal kepada jurulatih kerana keupayaannya untuk beraksi di bahagian hadapan dan sayap.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan