AM

Projek Pembangunan Dan Kebajikan Rakyat Diteruskan Di Semua Kawasan - PM Anwar

11/03/2025 04:27 PM

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan segala projek pembangunan dan kebajikan rakyat di semua kawasan akan diteruskan, sama ada peruntukan itu disalurkan melalui Ahli Parlimen kawasan tersebut atau tidak.

Beliau berkata ia termasuk program pembasmian kemiskinan tegar yang dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira kawasan.

"Sama ada ia (peruntukan disalur) melalui Ahli Parlimen atau tidak, projek (untuk) rakyat diteruskan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ihya' Ramadan bersama warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Perdana Menteri seterusnya menasihati Ahli Parlimen pembangkang supaya tidak mempolemikkan isu peruntukan tersebut sehingga membuat dakwaan kononnya mereka dihimpit beban kewangan kerana tidak menerimanya.

Anwar menjelaskan perkara itu tidak wajar kerana setiap Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, menerima pendapatan hingga RM40,000.

 Ia termasuk elaun tetap sekitar RM25,700 serta lain-lain seperti elaun sidang, elaun Mesyuarat Jawatankuasa Parlimen serta elaun perjalanan.

"Ramai Ahli Parlimen pembangkang menceritakan betapa susahnya hidup mereka kerana tidak dapat peruntukan... Janganlah bagi gambaran seolah-olah (hidup) terlalu sukar," katanya. 

Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi KBS serta meluangkan masa mendengar tazkirah dan menunaikan solat zohor secara berjemaah.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, timbalannya Adam Adli Abd Halim, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Sementara itu Hannah ketika mengulas pertemuan itu berkata Perdana Menteri memberikan panduan untuk KBS memperkasakan programnya terutama berkenaan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk golongan belia bandar dan luar bandar.

"(Dalam pertemuan) tadi kita telah memberikan pembentangan mengenai hala tuju KBS dan memberikan laporan mengenai peruntukan yang kita terima dan bagaimana kita telah melaksanakan pelbagai program," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan