AM

Pulau Pinang Terima Penerbangan Terus Dari Sebuah Bandar Di China Suku Kedua 2025

13/03/2025 03:03 PM

GEORGE TOWN, 13 Mac (Bernama) -- Pulau Pinang mengalu-alukan laluan penerbangan terus baharu dari sebuah bandar utama di China yang dijangka bermula pada puncak musim perjalanan Minggu Emas Hari Pekerja di China, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai.

Beliau berkata laluan baharu itu akan memperkukuh hubungan antara Pulau Pinang dan China, menyuntik nafas baharu kepada sektor pelancongan, pertukaran perniagaan serta interaksi budaya, di samping mengukuhkan kedudukan negeri sebagai hab penerbangan serantau dan destinasi pelancongan antarabangsa.

“Semasa forum Routes Asia 2024, Penang Global Tourism telah menjalin hubungan dengan syarikat penerbangan dari China. Selepas beberapa kali persidangan video, butiran terbabit (penerbangan baharu) telah dimuktamadkan. 

“Syarikat penerbangan berkenaan sedang menunggu kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Setelah semua prosedur yang diperlukan diselesaikan, syarikat penerbangan itu akan membuat pengumuman rasmi mengenai butirannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong berkata Pulau Pinang kini mempunyai penerbangan terus dari tujuh bandar di China iaitu Guangzhou, Xiamen, Shanghai, Hong Kong, Shenzhen, Chongqing, dan Xi'an, manakala penambahan laluan berkenaan akan menjadikan bandar kelapan di China yang mempunyai penerbangan terus ke negeri ini.

Beliau berkata data dari Februari tahun ini menunjukkan bilangan pelancong China yang tiba di Pulau Pinang melalui penerbangan antarabangsa telah mencecah 33,151 iaitu peningkatan ketara sebanyak 118.03 peratus berbanding Februari tahun lepas.

“Sekiranya kita mengambil kira pelancong yang transit melalui Kuala Lumpur atau tiba melalui laluan darat, jumlah sebenar pelancong China yang mengunjungi Pulau Pinang adalah lebih luar biasa. Sejak Januari tahun ini, China telah mengatasi Singapura untuk menjadi pasaran sumber pelancong antarabangsa kedua terbesar di Pulau Pinang, hanya di belakang Indonesia.

“Hal ini menandakan peralihan dari kedudukan ketiga sebelum ini dan memperlihatkan peningkatan minat serta potensi pasaran pelancong China di Pulau Pinang," katanya.

Wong berkata selain itu, Pulau Pinang juga mengalu-alukan laluan penerbangan terus baharu dari Yangon, Myanmar pada 10 April menerusi Myanmar Airways International, yang akan memperluas rangkaian penerbangan serantau negeri ini dan memberikan kemudahan yang lebih baik kepada pelancong dari Asia Tenggara.

Bagaimanapun, beliau berkata rangkaian penerbangan antarabangsa Pulau Pinang juga menghadapi penyesuaian pasaran berikutan pengumuman AirAsia semalam mengenai pemberhentian lapan laluan, termasuk satu dari Pulau Pinang, iaitu penerbangan terus ke Hong Kong akan dihentikan mulai 12 April.

Beliau berkata sejak Januari lepas, jumlah penerbangan terus antara Hong Kong dan Pulau Pinang telah meningkat dengan ketara kepada 22 penerbangan seminggu, namun AirAsia mungkin sedang membuat penyesuaian laluan untuk meneroka pasaran baharu, yang merupakan keputusan komersial biasa dalam industri penerbangan.

“Sebelum ini, laluan Hong Kong-Pulau Pinang dikendalikan oleh AirAsia dan Cathay Pacific, namun sejak November 2024, Hong Kong Express Airways juga telah melancarkan penerbangan terus antara Hong Kong dan Pulau Pinang.

“Pada masa ini, tiga syarikat penerbangan mengendalikan laluan ini. Pada Januari 2024, Cathay Pacific hanya mengendalikan empat penerbangan seminggu, manakala AirAsia pula tiga, menjadikan jumlah keseluruhan tujuh penerbangan seminggu,” katanya.

Wong berkata sebaliknya pada Januari lepas, Cathay Pacific meningkatkan kekerapan kepada lapan penerbangan seminggu, AirAsia kepada tujuh, dan Hong Kong Express Airways turut menambah tujuh lagi penerbangan, menjadikan jumlah penerbangan terus Hong Kong-Pulau Pinang meningkat daripada tujuh penerbangan seminggu tahun lepas kepada 22 penerbangan seminggu tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan