AM

Papan Pemuka NACS: Langkah Ke Hadapan Tingkatkan Ketelusan, Akauntabiliti - MCW

09/02/2025 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Papan Pemuka Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti agenda pembanterasan rasuah negara.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata akses masyarakat terhadap data prestasi NACS akan meningkatkan kesedaran rakyat dan membolehkan mereka menilai keberkesanan usaha berkenaan.

"Namun, kami (MCW) menekankan bahawa keterbukaan maklumat dalam papan pemuka ini mesti bebas daripada unsur manipulasi atau penyembunyian fakta yang boleh mengaburkan realiti sebenar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Jais berkata MCW menggesa agar data yang dipaparkan dalam Papan Pemuka NACS mestilah bersifat masa sebenar (real-time), objektif dan boleh diaudit secara bebas seperti Papan Pemuka Ketua Audit Negara yang menyediakan laporan ketelusan mengenai prestasi kementerian dan agensi.

Bagi menjamin keberkesanan papan pemuka itu, MCW mencadangkan supaya data yang dipaparkan mestilah terperinci dan merangkumi metrik jelas mengenai tahap pelaksanaan dasar anti-rasuah, kejayaan intervensi, dan cabaran yang dihadapi.

“Audit berkala dan bebas oleh pihak ketiga  bagi memastikan maklumat yang disediakan tidak berat sebelah atau dikawal oleh pihak berkepentingan.  

"Tindakan susulan dan penambahbaikan berdasarkan hasil pemantauan papan pemuka harus dilakukan, bukan sekadar sebagai paparan data tanpa tindakan," katanya.

Jais berkata MCW turut menekankan komitmen politik yang kukuh bagi memastikan papan pemuka NACS tidak sekadar menjadi gimik pentadbiran.

Sehubungan itu, pimpinan tertinggi kerajaan dan sektor awam mesti menunjukkan kesungguhan dalam merealisasikan objektif NACS dengan menginstitusikan budaya ketelusan dan integriti dalam setiap peringkat pentadbiran, katanya.

Selain itu, beliau berkata MCW turut melihat keberkesanan Papan Pemuka NACS ini bergantung kepada penglibatan masyarakat dan media dalam memantau dan menilai keberkesanan strategi tersebut.

Papan Pemuka NACS yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis lepas membolehkan orang ramai memantau kemajuan NACS.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan