AM

Kemas Perkukuh Pendidikan Al-Quran, Tubuh 4,000 Kelas Tabika Pra-Tahfiz Tahun Ini - Ahmad Zahid

10/02/2025 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan memperluas pendidikan al-Quran dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak dengan penubuhan 4,000 kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Pra-Tahfiz melibatkan 60,000 kanak-kanak di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan pendidikan al-Quran terus menjadi tunjang dalam membina generasi pewaris negara yang berakhlak, berilmu dan berdaya saing.

“Usaha ini bermula dengan pelaksanaan rintis di 100 Tabika KEMAS, melibatkan 1,500 kanak-kanak. Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan hingga 2024, penyertaan meningkat kepada 55,269 kanak-kanak.

“Saya percaya ini membuktikan bahawa masyarakat menyambut baik usaha KEMAS untuk memperkukuh nilai-nilai Islam dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata selain pendidikan, KEMAS akan melaksanakan transformasi dengan mengukuhkan pendekatan cross-functional, membabitkan kerjasama merentas semua bahagian dalaman KEMAS serta penglibatan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor korporat dan swasta.

Beliau berkata KEMAS juga akan merombak struktur program utama seperti Hari Potensi Tabika Kemas, Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS), Festival Kesenian Islam (iFest) dan program lain akan disatukan di bawah satu program utama yang dikenali sebagai Festival KEMAS (FESMA).

"Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi seperti logistik, penyewaan dan tenaga kerja, malah meningkatkan keberkesanan dan kesepaduan program yang dilaksanakan,” katanya sambil menambah KEMAS akan terus berperanan sebagai pemacu perubahan dalam membina negara maju serta masyarakat desa yang lebih dinamik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan