TUMPAT, 13 Feb (Bernama) -- Tiga parti politik Kerajaan MADANI telah menyumbang 6,600 beg sekolah bagi seluruh 66 mukim di Parlimen Tumpat yang melibatkan peruntukan sebanyak RM198,000.
Timbalan Ketua Sekretariat Kerajaan MADANI Parlimen Tumpat Mohd Khir Zahri Abdul Ghani berkata setiap mukim bakal menerima 100 beg sekolah yang akan diagihkan menerusi penghulu kampung di mukim berkenaan.
Beliau berkata sumbangan yang diusahakan oleh UMNO, PKR dan Amanah diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di kawasan berkenaan dalam menyediakan keperluan sekolah anak-anak, di samping dapat menyuntik motivasi dan keceriaan dalam kalangan pelajar.
“Setakat ini, kita telah mengenal pasti 2,600 pelajar baharu bagi jajahan Tumpat yang akan memasuki Tahun Satu, dan selebihnya akan diagihkan kepada pelajar di sekolah rendah dan juga menengah,” katanya kepada pemberita di Dewan Datuk Noor Zahidi di sini, hari ini.
Mohd Khir berkata UMNO, PKR dan Amanah serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Parlimen Tumpat mencari dana sendiri bagi menjayakan sumbangan itu, termasuk menerima bantuan individu, badan bukan kerajaan dan lain-lain.
Beliau berkata sumbangan akan mula diagihkan hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial