KLANG, 17 Feb (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan perbincangan bagi mengharamkan penjualan alat nyah aktif penggera tali pinggang keledar atau 'dummy buckle' yang dijual di pasaran.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perbincangan itu untuk melihat dari sudut penguatkuasaan setiap kementerian berikutan penjualan alat berkenaan dilihat berleluasa serta menyalahi peraturan keselamatan jalan raya.
“Penggunaan dummy buckle memang tidak dibenarkan. Bagaimanapun, penguatkuasaan (jualan ‘dummy buckle’) bukan di bawah kementerian ini (MOT) sebaliknya KPDN. Sebab kita tahu, kebanyakan kenderaan baharu sekarang ada sensor (pengesan). Kalau tidak pakai tali pinggang keselamatan akan ada bunyi.
“Jadi ia memang melanggar peraturan … sebab letak dummy buckle itu memang tidak pakai tali pinggang keselamatan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Lembaga Pelabuhan Klang dan Peluncuran Malaysia Maritime Single Window (MMSW) di KSL Convention Centre di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf sebelum ini dilaporkan berkata penggunaan alat nyah aktif penggera tali pinggang keledar dan tidak memakai tali pinggang keledar dengan sempurna oleh pemilik kenderaan dilihat menjadi trend semakin membimbangkan.
Beliau berkata ia berikutan notis tertinggi yang dikeluarkan pada Operasi Khas Tahun Baharu Cina adalah bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar iaitu 195 kesalahan dengan lebih 30 peratus daripadanya menggunakan aksesori berkenaan.
Dalam pada itu, Loke berkata larangan penggunaan soket 3-pin dan USB dalam semua bas ekspres pada 6 Nov tahun lepas masih berkuat kuasa sehingga polisi dan garis panduan pendawaian tambahan baharu dikeluarkan oleh MOT.
Beliau berkata ketika ini satu standard piawaian pemasangan kabel dan soket di dalam bas juga sedang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tenaga dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan dijangka siap seawal Mei.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mahu mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral pada 6.10 petang, 1 Nov tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial