AM

Hina Speaker Melalui TikTok: Ahli Parlimen Pendang Digantung Dewan Rakyat 10 Hari

05/12/2024 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim (Perikatan Nasional), digantung 10 hari daripada menghadiri Dewan Rakyat bermula hari ini, susulan kenyataan negatif terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menerusi aplikasi TikTok pada 18 Julai.

Johari berkata tindakan itu diambil setelah pelbagai cara yang telah dibuat bagi meminta Awang memohon maaf dan menarik balik ucapan tidak diendahkan hingga hari ini, termasuk menerusi surat yang dihantar pada 22 Julai.

“Kenyataan dan tindakan itu telah menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dipilih berdasarkan Perkara 47 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan dan menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Kenyataan negatif menerusi aplikasi TikTok bukan sahaja merupakan satu dakwaan yang sangat serius, tetapi telah menyalahi hak dan keisitimewaan Ahli Parlimen dan satu penghinaan kepada Dewan yang mulia ini,” katanya ketika mempengerusikan Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata menerusi video TikTok itu, Awang telah mengeluarkan kenyataan berbunyi “Kezaliman telah berlaku dalam Parlimen dan luar Parlimen, dalam Parlimen sekarang sedang dikuasai Tan Sri Speaker, melakukan kezaliman, bermula Pendang, Machang dan seterusnya kalau tidak dihalang daripada sekarang”. 

Terdahulu, Awang turut meminta maaf di Dewan Rakyat berhubung kenyataannya mengenai penemuan wang tunai RM94 juta di kediaman seorang bekas menteri daripada DAP pada 4 Nov lepas setelah diminta Johari berbuat demikian.

Johari berkata tindakan pengantungan itu diambil memandangkan kenyataan itu hanya dimohon maaf dan ditarik balik selepas 14 hari daripada tarikh kenyataan tersebut dibuat melalui surat kepada Johari pada 18 Nov lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan