IPOH, 5 Dis (Bernama) -- Pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) di Parlimen pada Mac tahun depan, bertujuan memastikan pembangunan bandar dilakukan secara terancang mengikut spesifikasi ditetapkan pihak berwajib.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata jika perubahan tidak dilakukan, dikhuatiri lebih banyak masalah terutama membabitkan kemudahan infrastruktur akan berlaku dan mengganggu kehidupan rakyat.
“Kita mempunyai banyak bangunan lama yang dibina pada zaman sebelum kemerdekaan. Kita juga berdepan masalah perparitan di kebanyakan tempat yang sudah ketinggalan zaman.
“Jadi, jika perubahan tidak dilakukan melalui akta ini, saya fikir masalah lebih serius akan berlaku dan kesannya akan mengganggu kehidupan rakyat,” katanya ketika ditemui melawat mangsa banjir di Arena Kepayang Putra di sini, hari ini.
Sebelum ini Nga dilaporkan berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang menggubal RUU Sewaan Kediaman selain bercadang meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Pelesenan) 1966, Akta Perkhidmatan Bomba 1988, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
Beliau berkata penggubalan kesemua akta berkenaan diharap dapat diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16.
Sementara itu, Nga berkata seramai 174 daripada 255 keluarga yang terjejas akibat banjir kilat di Arena Kepayang Putra, Ahad lepas, bakal menerima bantuan kecemasan berjumlah RM174,000 dalam masa terdekat.
Beliau berkata setiap keluarga akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 yang akan disalurkan secara terus ke akaun penduduk terlibat.
“Buat masa ini 174 keluarga yang menerima bantuan ini merupakan mereka yang telah mengisi borang (bantuan). Saya minta supaya baki (81 keluarga) yang belum mengisi borang supaya berbuat demikian bagi memudahkan bantuan disalurkan dalam kadar segera,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai khususnya mangsa banjir di Arena Kepayang Putra supaya bersiap sedia serta berwaspada susulan jangkaan berlaku hujan berterusan dari 8 Dis hingga 14 Dis ini sepertimana diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Dijangka akan berlaku gelombang kedua selepas ini dan saya harap penduduk di sini ambil langkah berjaga-jaga serta pastikan barangan berharga disimpan di tempat yang selamat,” katanya.
Terdahulu, Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayang berkata KPKT meluluskan peruntukan RM108.5 juta untuk projek tebatan banjir di Sungai Kinta dan Kampar bagi mengelakkan banjir di Arena Kepayang Putra, dekat Fair Park itu berulang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial