KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Wanita Barisan Nasional (BN) perlu menjadi pelopor dalam memperjuangkan hak wanita terutama dalam pendidikan serta berperanan sebagai perisai yang melindungi golongan tersebut, kata Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata antara aspek yang perlu diberikan perhatian ialah pendidikan digital bagi memastikan setiap wanita mempunyai peluang untuk meneroka teknologi, selain terus diberi ruang menjadi usahawan dan pencetus inovasi dalam memperkasakan ekonomi keluarga.
"Setiap anak perempuan di negara ini harus mempunyai peluang yang sama untuk belajar, meneroka teknologi dan membina kerjaya masa depan termasuk di kawasan pedalaman.
"Kita juga mesti memastikan bahawa hak dan keselamatan wanita terus diperjuangkan. Kes-kes keganasan rumah tangga, diskriminasi tempat kerja dan gangguan seksual masih menghantui ramai wanita. Kesatuan kita mesti menjadi perisai yang melindungi mereka," katanya dalam ucapan perasmian sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Wanita BN, di sini.
Noraini berkata pada usia 50 tahun, Wanita BN perlu terus memainkan peranan sebagai tulang belakang dalam memastikan gabungan itu kekal berfungsi dan memikul tanggungjawab untuk menjadikan BN sebagai harapan rakyat.
Menurutnya, BN pernah melalui zaman kegemilangan dan menghadapi kejatuhan yang penuh cabaran, namun gabungan itu kekal sebagai harapan terakhir rakyat untuk mencapai kestabilan dan kemakmuran.
Beliau turut mengingatkan semua ahli parti yang menghadiri sambutan kali ini untuk menjadikan misi 'Bangkit Semula Teguh Bersama' sebagai asas kesepaduan mereka, dengan tekad untuk terus bersatu padu
"Ingatlah, kejayaan kita bukan hanya diukur melalui pencapaian individu, tetapi melalui pencapaian kolektif kita bersama.
"Mari kita terus tanamkan semangat perpaduan dalam diri kita. Kesatuan bukan sekadar kata-kata indah, tetapi prinsip yang menjadi tunjang kekuatan kita," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial