AM

KERAJAAN PERSEKUTUAN SERAH ENAM PROJEK SIAP BERNILAI RM65.5 JUTA KEPADA SABAH

07/12/2024 08:11 PM

KOTA KINABALU, 7 Dis (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) hari ini menyerahkan enam projek siap melibatkan kos bernilai RM65.5 juta kepada Sabah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata penyerahan berkenaan melibatkan tiga Projek Tebatan Banjir dan masing-masing satu Projek Pemuliharaan Muara, Projek Mencegah Hakisan Pantai dan Projek Menaik Taraf Rumah Pam.

"Projek berkenaan ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tawau, (Fasa 1A); Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedamaian, Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kawang-Kawang di Kota Belud (Pembinaan Ban dan Penstabilan Tebing Sungai); Rancangan Tebatan Banjir Bandar Sierra, Lembangan Sungai Telipok di Kota Kinabalu.

"Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran di Kampung Tompinahaton, Kiulu; Projek Pemuliharaan Hakisan Pantai Pelbagai Negeri: Kerja Mencegah Hakisan Pantai di Sungai Mentadak Baru, Pulau Sebatik, Tawau; dan Kerja-Kerja Menaik Taraf Rumah Pam Likas," katanya.

Fadillah berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan projek itu yang disempurnakan beliau bagi pihak kerajaan Persekutuan dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk kerajaan Sabah.

Fadillah berkata dengan pelaksanaan dan penyiapan tiga projek tebatan banjir itu, seluas 1,403 hektar kawasan banjir dapat dikurangkan dan 20,000 penduduk mendapat manfaat serta dilindungi daripada risiko banjir.

“Pelaksanaan Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran di Kampung Tompinahaton, Kiulu pula berjaya mencegah daripada risiko bencana runtuhan tebing sungai seterusnya memberi perlindungan kepada harta benda awam termasuk balai raya, kawasan perkuburan dan 300 kediaman penduduk.

“Manakala Projek Mencegah Hakisan Pantai di Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik berjaya memberi perlindungan kepada hampir 1,000 penduduk serta kemudahan awam seperti klinik kesihatan, balai polis dan jeti daripada hakisan akibat pukulan ombak.

"Projek yang direka bentuk secara in house design oleh JPS ini dijangka turut membantu menjana industri pelancongan agar berkembang dan seterusnya boleh membantu meningkatkan sumber ekonomi penduduk di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata Projek Pembinaan Menaik Taraf Rumah Pam Likas pula dapat mengurangkan impak banjir di kawasan sekitar melalui peningkatan kecekapan kawalan banjir dengan tahap kesiapsiagaan operasi selama 24 jam dan tujuh hari seminggu.

Fadillah berkata dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), kerajaan Persekutuan menerusi PETRA telah meluluskan 82 projek dengan kos keseluruhan berjumlah RM8.5 bilion untuk Sabah yang jumlah peruntukan semasa di bawah Pelan Pusingan Keempat pada 2024 adalah RM674 juta.

“Selain itu, JPS Sabah telah diperuntukkan RM116.77 juta untuk pelaksanaan 27 projek dalam Pelan Pusingan Kelima untuk tahun depan demi kesejahteraan dan peningkatan sosioekonomi rakyat Sabah,” katanya.

-- BERNAMA






BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan