PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama) -- Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan menegaskan tindakannya tidak mengambil gaji dan elaun sebagai wakil rakyat di kawasan itu adalah satu komitmen yang serius seperti yang dijanjikannya semasa bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas.
Ramanan menjadi tumpuan umum selepas menyingkirkan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Parlimen Sungai Buloh dalam pertarungan yang dianggap cukup sengit pada pilihan raya itu.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata aku janji yang ditandatanganinya pada PRU15 lepas, masih teguh dipegang olehnya dan gaji serta elaun yang sepatutnya diterima disalurkan ke rumah ibadat seperti masjid, surau, kuil serta gereja, selain membantu golongan B40 di kawasan itu.
"Sejak 2023 PRU yang lepas, setelah memimpin Parlimen Sungai Buloh, jumlah keseluruhan gaji dan elaun sebanyak RM550,000 telah diagihkan kepada lebih 100 rumah ibadah termasuk masjid, surau, kuil dan gereja sekitar Parlimen Sungai Buloh.
"Saya percaya apabila kita membuat janji, kita perlu menunaikannya. Jadi saya akan terus menunaikannya sepanjang berkhidmat dan jika menang lagi pada PRU seterusnya pun, saya akan terus melakukan perkara sama, walaupun saya banyak kali dimarah, ditegur oleh ahli Parlimen yang lain berhubung tindakan ini.
"Yang paling utama, saya akan buat perkara ini sepanjang saya berkhidmat. Ini bukan gimik sebab ini adalah satu janji yang saya buat. Kebiasaan, kalau kita buat satu janji, janji itu bukan semua orang boleh tepati," katanya dalam temu bual khas bersama media di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Selain itu, Ramanan turut menyatakan komitmen untuk terus membantu rakyat di kawasan tersebut melalui pelbagai inisiatif antaranya Jualan MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas pada potongan harga 50 peratus serta program Back to School yang memberi bantuan peralatan sekolah kepada murid dan pelajar yang layak.
"Jualan MADANI Parlimen Sungai Buloh merupakan paling murah di negara ini, dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan memberikan diskaun sebanyak 30 peratus manakala saya sendiri akan tambah lagi 20 peratus menjadikan 50 peratus.
"Setakat ini, sambutan terhadap semua program diterima baik. Setiap kali, kita adakan Jualan MADANI contohnya, semua barangan habis, tidak pernah ada baki yang dihantar balik, jadi saya akan teruskan usaha ini untuk memanfaatkan lebih ramai rakyat," katanya.
Pada masa yang sama, Ramanan berkata beliau menjadikan bekas Presiden MIC mendiang Tun Dr S. Samy Vellu sebagai idola dalam memperjuangkan nasib kaum India di negara ini dan menyifatkannya sebagai legenda selain banyak belajar tentang kepimpinan daripada tokoh itu.
"Tun Dr Samy Vellu adalah legenda dan saya banyak belajar daripada beliau. Keberanian beliau memang sukar dicapai, tetapi saya cuba untuk mencontohi cara kepimpinan beliau yang lantang kerana komuniti India sangat menghargai pemimpin yang 'bising' dan aktif beraksi," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap pemimpin mempunyai pendekatan yang berbeza dalam menyampaikan pendapat dan ia perlu disesuaikan dengan zaman kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih mementingkan kepimpinan yang bekerja secara senyap dan berkesan.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang pemimpin yang mahu melihat 'results with action'. Dia tak suka pemimpin syok sendiri yang selalu bermain politik. Kita jarang dapat lihat dan baca kenyataan bersifat politik daripadanya. Beliau lebih mengutamakan masa depan rakyat," katanya.
Sementara itu, Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR turut memberi bayangan bahawa beliau bakal bertanding untuk jawatan tertinggi dalam parti itu pada pemilihan akan datang.
Beliau bagaimanapun masih berteka teki mehgenai jawatan yang bakal ditandinginya itu, kerana masih perlu mendapat restu daripada Anwar yang juga presiden parti itu.
Ramanan berkata beliau akan mengikuti setiap arahan dan keputusan yang dibuat oleh presiden demi memperkukuhkan parti itu dan seterusnya memastikan dapat memperjuangkan lebih banyak suara, khususnya masyarakat India di peringkat tertinggi.
PKR, katanya adalah parti yang terbaik boleh mewakili suara komuniti India di negara ini kerana parti itu mempunyai 31 ketua cabang daripada komuniti India.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial