AM

Pembongkaran GISBH Gemparkan Negara, Dikaitkan Dengan Al-Arqam

24/12/2024 10:13 AM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Tiga dekad selepas ajaran Al-Arqam diisytiharkan sesat pada 1994, negara sekali lagi digemparkan dengan pendedahan membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), sebuah organisasi yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut.

GISBH, yang terkenal dengan rangkaian perniagaannya yang meliputi restoran, hotel, klinik dan pusat tahfiz, menjadi tumpuan tahun ini, selepas serbuan mendedahkan penemuan buku-buku yang berkaitan dengan ajaran Al-Arqam.

Pihak berkuasa turut menyiasat dakwaan eksploitasi, penderaan, dan jenayah lain berdasarkan laporan individu yang mendakwa menjadi mangsa.

Menyingkap kontroversi GISBH, isu berkenaan mula menjadi perhatian selepas Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia menerusi laman rasmi Facebooknya mendedahkan kegiatan ajaran sesat yang didakwa berlaku membabitkan syarikat itu pada 16 Ogos.

Susulan itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membangkitkan isu keganasan dan kekejaman yang didakwa berlaku dalam GISBH dan menggesa siasatan dan campur tangan pihak berkuasa.

Berdasarkan laporan dan risikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan fasa pertama Op Global pada awal September, dengan melakukan serbuan ke atas 20 rumah kebajikan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan.

Operasi yang melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa, termasuk pihak berkuasa agama, membawa kepada penahanan 171 individu bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak dan eksploitasi agama.

Sebanyak 402 individu, terdiri daripada 201 kanak-kanak lelaki dan 201 kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 17 tahun, turut diselamatkan. Antara mereka, terdapat 10 kanak-kanak kurang upaya, termasuk autisme.

Kanak-kanak yang diselamatkan dibawa ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Hasil pemeriksaan mendapati 392 daripada mereka menunjukkan tanda-tanda pengabaian dan penderaan, termasuk kesan kecederaan fizikal dan emosi.

Bagaimanapun, GISBH mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja dan menegaskan mereka tidak akan terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang, terutamanya berkaitan kebajikan kanak-kanak.

Isu ini turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang menitahkan PDRM menjalankan siasatan segera dan menyeluruh terhadap dakwaan penganiayaan dan penderaan terhadap kanak-kanak. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahukan kes itu ditangani segera.

Perkembangan siasatan polis juga menyaksikan puluhan individu ditahan reman bagi membantu siasatan termasuk pengurusan tertinggi dan isteri, beberapa pemimpin GISBH serta anak bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad.

Selain itu, sebanyak 96 akaun bank GISBH dibekukan, manakala empat daripadanya ditutup, melibatkan aset bernilai lebih RM581,000.

Beberapa kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611); Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792); Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670); Kanun Keseksaan (Akta 574), serta undang-undang lain yang berkaitan.

Dalam fasa keempat Op Global, pihak berkuasa menyerbu premis GISBH di beberapa negeri dan merampas risalah serta dokumen yang didakwa berkaitan ajaran Al-Arqam yang bercanggah dengan prinsip Islam, selain pelbagai barangan yang dikaitkan dengan amalan khurafat.

Dalam operasi berasingan di Kelantan, pihak berkuasa menyerbu tiga rumah di Kampung Panji yang disyaki menjadi kediaman Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan keluarganya.

Pelbagai buku dan dokumen berasaskan doktrin Al-Arqam ditemukan tertanam berhampiran tebing sungai, dengan sebahagiannya dilaporkan dibakar.

Rentetan kes itu, pada 3 Okt, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu yang mengisytiharkan pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH serta rangkaiannya menyimpang daripada akidah Islam yang sebenar.

Fatwa yang sama turut dikeluarkan di Pahang, Perlis, Negeri Sembilan, Sabah, Melaka, Perak, dan Pulau Pinang, diikuti keputusan serupa oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 14 Nov.

Sehingga 10 Okt, polis membuka 97 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak 2017.

Siasatan juga melibatkan Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Pusat Jagaan 1993.

Pada 23 Okt, Ketua Pegawai GISBH Datuk Nasiruddin Mohd Ali bersama 21 yang lain, didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pada 23 Dis, Mahkamah Sesyen Selayang memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sehingga berita ini ditulis, seramai 625 mangsa yang berumur antara dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan sejak Op Global dimulakan pada September lepas.

Polis masih meneruskan siasatan khususnya melibatkan pengikut dan premis GISBH di luar negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan