AM

Guna Tenaga Bumiputera Capai 9.8 Juta Pada 2023 - DOSM

24/12/2024 05:37 PM

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Guna tenaga Bumiputera mencapai 9.8 juta pada 2023 dengan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) sebanyak 67.2 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata KPTB bagi lelaki Bumiputera kukuh pada 80.8 peratus manakala kadar bagi wanita pada 53.4 peratus. 

“Dalam kalangan tenaga buruh Bumiputera, sumbangan tenaga buruh yang berpendidikan menengah dan setaraf adalah 56.2 peratus sementara yang berpendidikan tertiari meningkat kepada 38.2 peratus, berbanding 37.1 peratus pada tahun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Uzir berkata pada 2023, etnik Bumiputera mencatatkan 363,102 bilangan kelahiran hidup berbanding 344,281 kelahiran hidup pada tahun sebelumnya dengan jumlah kadar kesuburan bagi wanita Bumiputera meningkat sedikit kepada 2.1 ketimbang 2.0 pada 2022, menunjukkan tahap penggantian penduduk yang stabil.

Mengenai statistik siswazah, beliau berkata Malaysia mempunyai 3.7 juta siswazah Bumiputera, dengan 1.6 juta lelaki dan 2.1 juta wanita serta kadar penyertaan tenaga buruh siswazah (KPTBS) pada 85 peratus.

Berhubung bilangan profesional Bumiputera terpilih yang berdaftar dengan badan profesional sehingga 2023, katanya seramai 12,222 direkodkan sebagai akauntan berdaftar, 10,057 orang peguam berdaftar, 7,880 doktor gigi berdaftar, 3,055 juruukur bahan berdaftar, 1,013 arkitek berdaftar dan 359 juruukur tanah berlesen. 

“Dari segi pertumbuhan tahunan, bilangan peguam berdaftar Bumiputera, juruukur tanah berlesen Bumiputera dan doktor gigi berdaftar Bumiputera mencatatkan peningkatan pertumbuhan dua digit iaitu masing-masing sebanyak 13.7 peratus, 12.2 peratus dan 11.8 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Statistik hartanah pula menunjukkan individu Bumiputera menyumbang 34.2 peratus daripada jumlah transaksi hartanah kediaman, dengan nilai pindah milik RM34.5 bilion daripada jumlah keseluruhan RM100.9 bilion.

Sementara dalam segmen hartanah komersial, transaksi Bumiputera meningkat daripada RM2.1 bilion pada 2022 kepada RM2.3 bilion pada 2023, mencerminkan trend kenaikan yang stabil dalam aktiviti perniagaan dan pelaburan dalam kalangan komuniti itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan