FOKUS BERNAMA

Wujudkan Infrastruktur Pintar, Bandar Berdaya Tahan

27/12/2024 03:37 PM

Bencana banjir mengakibatkan kerugian hingga ratusan juta ringgit kepada negara, melibatkan kerosakan harta benda, kawasan pertanian dan infrastruktur.

Artikel kedua daripada laporan khas tiga bahagian tentang banjir ini meneroka kaedah yang perlu diambil pihak berwajib bagi melengkapi langkah mitigasi sedia ada agar  masalah banjir dapat ditangani dengan lebih berkesan.

 

Setiap kali musibah banjir berlaku, kerajaan persekutuan dan negeri akan menanggung kerugian mencecah ratusan juta ringgit, tidak termasuk kos pembaikan yang perlu dilaksanakan, khususnya melibatkan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan.

Berdasarkan Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia,  negara kerugian RM755.4 juta akibat banjir pada 2023, meliputi kerosakan kediaman (RM168.3 juta), kenderaan  (RM22.3 juta), premis perniagaan (RM53.2 juta) dan pembuatan (RM10.3 juta), kerugian industri pertanian (RM120.6 juta) serta aset awam  dan infrastruktur sebanyak RM380.7 juta.

Menurut pensyarah di Jabatan Seni Bina dan Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mazlan Mohd Tahir,  usaha menangani banjir memerlukan pendekatan menyeluruh yang turut melibatkan punca kejadian.

“Pendekatan perlu menggabungkan aspek teknikal, perancangan serta kesedaran masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata antara faktor yang menyumbang kepada kejadian banjir ialah kegagalan sistem saluran sedia ada menampung kapasiti air hujan, kegiatan pembangunan berskala besar yang melibatkan tarahan struktur muka bumi serta aktiviti pembalakan dan penebangan hutan menyebabkan tanah kehilangan upaya menyerap air, sekali gus meningkatkan kadar aliran air permukaan.

“Masalah diburukkan lagi oleh sistem pengurusan sungai yang lemah, ditambah dengan sikap sesetengah ahli masyarakat yang bertindak membuang sampah dan sebagainya ke dalam sungai,” katanya.

 

INFRASTRUKTUR PINTAR, TERAP PRINSIP ESG

Dalam mencapai masa depan mampan selain mewujudkan sinergi untuk memacu perubahan bermakna bagi Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menggesa semua pihak berkepentingan, termasuk perniagaan, masyarakat serta individu, agar terlibat secara aktif dalam menerima guna prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melangkaui aspek pematuhan semata-mata.

Kata beliau, anjakan minda perlu dilakukan oleh semua pihak dalam usaha negara mencapai pelepasan sifar bersih.

pic-2

Dekan Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin Prof Dr Hafizan Juahir berkata bagi memperkasa konsep ESG dalam menangani banjir, pihak berwajib perlu segera melaksanakan pelan jangka panjang termasuk membina sistem saliran bersepadu di kawasan bandar dan luar bandar dengan memastikan saliran bersambung ke sungai utama.

"Kolam takungan banjir perlu diwujudkan bagi menampung air hujan sebelum dialirkan ke sungai atau laut, selain melindungi kawasan tadahan air semula jadi daripada sebarang aktiviti pembalakan atau pembangunan di kawasan tersebut.

"Sementara itu, kempen kesedaran tentang pengurusan sisa dan kepentingan menjaga sistem perparitan perlu diadakan secara berterusan,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga menekankan kepentingan pelan tindakan perubahan iklim yang khusus, termasuk langkah mitigasi banjir seperti membina tebatan.

Tambah beliau, pengurusan banjir memerlukan pendekatan holistik melibatkan kerajaan, sektor swasta serta masyarakat, kerana pencegahan, pembangunan mampan dan pengurusan bencana yang berkesan adalah “kunci” dalam mengurangkan impak banjir pada masa depan.

Pada 30 Nov lepas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek rintis produk Teknologi Tebatan Banjir atau NoFloods dari Denmark yang kini di peringkat bukti konsep (POC), dilihat berkesan dalam menangani masalah banjir dan meminimumkan impak jalan terputus akibat bencana itu.

Dipasang sejauh 300 meter di seksyen 6.30 jalan persekutuan FT189 di Jertih, Terengganu dari 1 Okt lepas hingga 31 Mac depan, halangan NoFloods ini memanfaatkan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) dan mampu menampung ketinggian aras air hingga 1.2 meter.  

Semasa gelombang pertama banjir musim tengkujuh pada penghujung bulan lepas, kerajaan dianggar membelanjakan RM312.1 juta bagi pembaikan cerun dan penyelenggaraan jalan persekutuan dan negeri. 

 

PERANCANGAN BANDAR, SALIRAN BERDAYA TAHAN

Sementara itu, pakar tadbir urus alam sekitar dan sains kelestarian Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman daripada Universiti Putra Malaysia, berkata kerajaan perlu mengenal pasti kawasan yang sering terjejas banjir, terutamanya petempatan berhampiran sungai, agar tidak ada lagi pembangunan dilaksanakan di kawasan berkenaan.

pic-3

Projek pembangunan akan mengakibatkan berlaku pemendapan sedimen seperti lumpur, pasir dan bahan organik yang membentuk tanah baharu di kawasan rendah dan muara sungai, sekali gus menghalang aliran air, katanya.

 Felow Kanan Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air, Universiti Teknologi Malaysia Skudai Prof Zulkifli Yusop pula berkata bangunan dan infrastruktur penting seperti hospital, balai bomba, substesen Tenaga Nasional Berhad, loji rawatan air serta pusat pemindahan sementara perlu ditempatkan di kawasan yang kurang berisiko banjir atau dibina dengan spesifikasi kebal banjir.

"Pihak Berkuasa Tempatan boleh menggunakan tanah bencah dan kolam semula jadi sebagai sebahagian daripada langkah mitigasi, dan setiap projek pembangunan perlu melaksanakan langkah tebatan masing-masing dengan menyediakan kolam takungan banjir serta mengekalkan sebahagian daripada kawasan tersebut dengan tumbuhan asal atau menghijaukan semula dengan tumbuhan lain.

pic-4

"Kawalan di lokasi sangat penting untuk mengurangkan risiko di bahagian hilir, dan jika diurus dengan baik kos mitigasi banjir boleh dikongsikan dengan pemaju," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan dianggar memerlukan RM392 bilion bagi melaksanakan 365 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan risiko banjir di seluruh negara bagi tempoh 2023 hingga 2100.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata anggaran itu dibuat berdasarkan kajian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran di lembangan sungai, bertujuan menyediakan perancangan dan penyelesaian banjir secara menyeluruh.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan