AM

MDUR 88 Dijenamakan Semula Kepada MS 88, Setanding Durian Premium

28/12/2024 02:32 PM

KUALA KANGSAR, 28 Jan (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjenamakan semula durian hibrid MDUR 88 kepada MARDI Super (MS88).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan durian premium Malaysia ke peringkat lebih tinggi dan membuka peluang komersial lebih luas untuk pasaran domestik dan pasaran global.

"MARDI Kuala Kangsar sebagai pusat penyelidikan memperkenalkan varieti-varieti baharu khasnya durian, ia bagi memenuhi pasaran durian antarabangsa yang bernilai berbilion ringgit," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Taman Agro Duriotourism di MARDI Kuala Kangsar di sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi MARDI Dr Azman Ismail dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Mohamad Sabu berkata MS88 yang melalui kajian selama 15 tahun mempunyai rasa setanding durian premium lain seperti Black Thorn. 

Beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira 8,000 pokok durian MS88 ditanam di seluruh negara oleh para petani kecil-kecilan bagi memenuhi pasaran eksport terutama ke China. 

"Walaupun terdapat persaingan dari Thailand dan Vietnam, namun kita yakin durian Malaysia masih menjadi pilihan di China dan kita cuba memenuhi pasaran durian di sana (China) yang masih luas setiap tahun," katanya. 

Beliau berkata kementerian dan MARDI akan sentiasa memberi galakan kepada petani yang mahu menanam durian termasuk memberi benih durian MS88 secara percuma. 

Sementara itu, MARDI dalam kenyataan memaklumkan durian MS88 mempunyai rasa yang lemak manis, isi tebal serta lambat merekah yang membolehkan penyimpanan lebih lama tanpa menjejaskan kualiti isi. 

Ciri ini memberi kelebihan dalam proses pengangkutan dan pemasaran untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, selain tahan terhadap penyakit setanding varieti premium lain dengan dihasilkan melalui teknik penghibridan dan pemilihan yang teliti.

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan