AM

Bazar Aidilfitri Mega Banda Hilir Ganti Bazar Di Jalan Hang Tuah

29/12/2024 03:45 PM

MELAKA, 29 Dis (Bernama) -- Bazar Aidilfitri Mega Banda Hilir akan dibuka sepanjang Ramadan bagi menggantikan Bazar Aidilfitri Jalan Hang Tuah yang sebelum ini merupakan destinasi ikonik bagi umat Islam membeli-belah untuk persiapan hari raya.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata bazar Aidilfitri berkenaan akan menempatkan sebanyak 230 gerai jualan di sepanjang Jalan Kota dan hingga kini, kira-kira 90 peratus permohonan telah diisi.

"Kawasan di hadapan A Famosa ini sehingga Bangunan Merah (Stadthuys) akan dijadikan lokasi bazar Aidilfitri buat kali pertama pada tahun ini bagi menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong untuk membeli-belah persiapan hari raya.

"Kawasan ini strategik kerana ia bukan sahaja akan menempatkan Bazar Aidilfitri Mega Banda Hilir, tetapi juga kompleks beli-belah sekali gus memberikan suntikan ekonomi kepada semua peniaga di sekitar kawasan terlibat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Masakan Warisan Melaka 2024 yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Shadan Othman.

Ab Rauf berkata sepanjang pengoperasian Bazar Aidilfitri itu, destinasi pelancongan lain yang berada di sekitarnya, seperti muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka akan turut dibuka pada hujung minggu sebagai daya tarikan tambahan baharu untuk menarik kedatangan pengunjung dan pelancong pada bulan Ramadan.

Beliau berkata tiada isu parkir bagi pengunjung atau pelancong ke bazar berkenaan kerana terdapat kira-kira 4,000 tapak letak kenderaan di sekitar kawasan Banda Hilir dan Melaka Raya.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata Festival Masakan Warisan Melaka perlu diperluas pada peringkat sekolah sebagai antara langkah untuk memastikan generasi muda dapat terus mewarisi masakan tradisi tempatan pelbagai kaum di negeri itu.

"Festival ini boleh dianjurkan secara berjadual setiap tahun pada peringkat sekolah sebagai pendedahan kepada golongan muda tentang masakan warisan atau tradisi masyarakat tempatan yang ada di Melaka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan