AM

Keselamatan Komuniti, Tulang Belakang Kepada Negara Berkembang Maju - Lee Lam Thye

01/01/2025 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Keselamatan komuniti memainkan peranan penting sebagai tonggak asas kemakmuran negara, melibatkan bukan sahaja penguatkuasaan undang-undang tetapi juga penyertaan aktif daripada penduduk, perniagaan dan organisasi.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata sebuah negara yang berkembang maju tidak boleh dibina tanpa asas keselamatan komuniti yang kukuh.

"Keselamatan komuniti adalah tulang belakang sesebuah negara yang berkembang maju. Ia bukan sahaja melindungi nyawa dan harta benda tetapi juga meningkatkan pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan perpaduan sosial, dan memperbaiki kesejahteraan mental.

"Walaupun dasar dan penguatkuasaan memainkan peranan penting, inisiatif keselamatan hanya boleh berjaya apabila kerajaan memberi kuasa kepada komuniti untuk terlibat dalam mewujudkan persekitaran yang selamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee turut menekankan beberapa bidang yang boleh diberi tumpuan untuk meningkatkan keselamatan komuniti seperti rangka kerja perundangan yang menggalakkan penglibatan komuniti, peruntukan sumber untuk membiayai program keselamatan berasaskan komuniti dan mengukuhkan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

"Pembuat dasar mesti menunjukkan teladan dan mewujudkan keadaan yang membolehkan tanggungjawab bersama. Dengan mengutamakan langkah keselamatan kolaboratif, kita mampu membina komuniti yang selamat, inklusif dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan," katanya.

Lee berkata keselamatan bukan tugas polis atau kerajaan semata-mata tetapi ia adalah tanggungjawab bersama.

“Apabila kita semua mengambil peranan aktif dalam melindungi komuniti, kita mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua orang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan