AM

Mesyuarat ASEAN Platform Promosi Langkawi Sebagai Destinasi Pelancongan - LADA

01/01/2025 06:54 PM

LANGKAWI, 1 Jan (Bernama) -- Pemilihan Langkawi sebagai satu daripada lokasi Mesyuarat ASEAN pada tahun ini dilihat dapat menjadi platform terbaik untuk mempromosi pulau peranginan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Haslina Abdul Hamid berkata pihaknya akan melakukan sebaik mungkin bagi memastikan Langkawi terus menjadi destinasi pilihan pelancong luar negara terutamanya para delegasi ASEAN yang akan hadir nanti.

"Ada tiga acara penting sempena Mesyuarat ASEAN iaitu Mesyuarat Trek Kewangan pada 14 dan 15 Januari, diikuti Pemukiman Menteri Luar ASEAN pada 18 dan 19 Januari serta Mesyuarat Khas Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga pada 21 hingga 23 Januari.

"Sempena Mesyuarat ASEAN itu, LADA berperanan untuk memastikan dan menyediakan apa sahaja keperluan semasa program, pemukiman dan mesyuarat yang berlaku diselaraskan dengan baik bersama semua agensi yang terlibat bermula daripada ketibaan delegasi ASEAN di Langkawi sehinggalah kepulangan mereka," katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis sambutan ketibaan 152 penumpang penerbangan Batik Air dari Kuala Lumpur ke Langkawi sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Haslina berkata LADA juga telah menyalurkan dana berjumlah RM2 juta kepada Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) bagi melaksanakan beberapa projek menaik taraf landskap sempena Mesyuarat ASEAN itu.

"Kita mahu pastikan semua aspek tersedia dengan baik termasuk dari segi keceriaan, kebersihan dan sambutan pada Mesyuarat ASEAN itu nanti. Langkawi ini merupakan tempat penting bukan sahaja untuk program berkenaan, malah sepanjang tahun nanti akan ada banyak lagi program-program yang lain.

"Kita mahu pastikan Langkawi menjadi destinasi pilihan delegasi, sebab itu perlu kekalkan keindahan alam semula jadi di pulau ini supaya mereka boleh mendapat pengalaman yang lebih baik berbanding tempat-tempat pelancongan yang lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan