JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Tahan 53 Pendatang Tanpa Izin Di Sekitar Pusat Beli Belah Di Ampang

04/01/2025 01:32 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 53 pendatang tanpa izin dalam operasi Op Kutip di kawasan sekitar sebuah pusat beli-belah di Ampang, Selangor, malam tadi. 

Pengarah Imigresen Selangor Khairul Aminus Kamaruddin berkata semua yang ditahan terdiri daripada 33 lelaki dan 20 wanita dari Indonesia, Afghanistan, India, Nepal, Australia, Filipina, Myanmar, Sweden, Tanzania, Morocco, Somalia, Nigeria, Bangladesh dan Pakistan.

“Mereka berumur 14 hingga 65 tahun dan disyaki tidak mempunyai dokumen sah serta mematuhi syarat-syarat untuk tinggal di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata semasa pemeriksaan terdapat warga asing yang bertindak agresif dengan memberi pelbagai alasan malah, ada yang berpura-pura pengsan bagi mengelak daripada ditahan.

“Seramai 141 individu diperiksa dalam serbuan yang bermula pukul 7.30 malam oleh 35 petugas Imigresen Selangor,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih bagi proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya.

– BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan