AM

Maritim Malaysia Rampas 30 Bubu Naga Di Perairan Pulau Talang

04/01/2025 05:29 PM

IPOH, 4 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak merampas 30 set bubu naga bernilai hampir RM3,000 di kedudukan sekitar 3.6 batu nautika dari barat laut Pulau Talang dekat Lumut semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata rampasan dilakukan kira-kira 12.30 tengah hari oleh sepasukan anggota Maritim Malaysia yang melakukan rondaan di lokasi berkenaan.

Beliau berkata bubu berukuran kira-kira 10 meter panjang setiap satu itu dipasang secara berangkai dan dikesan bersama bendera berwarna biru yang mencurigakan di lokasi kejadian.

“Tinjauan secara dekat mendapati bendera berkenaan diikat pada pancang kayu dan dijadikan penanda kepada bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Shukri berkata semua barang rampasan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut selain individu yang ditahan boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah tidak dibenarkan.

 

Mohamad Shukri berkata individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata Maritim Negeri Perak berharap semua komuniti nelayan lebih cakna dan patuh akan peraturan yang telah ditetapkan kerajaan dan tidak sesekali melaksanakan kesalahan sama berulang kali di perairan negara, terutamanya perairan negeri Perak.

"Ini kerana Maritim Malaysia akan terus membuat rampasan ke atas bubu naga serta tidak akan berkompromi dalam mengenakan tindakan ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang," katanya. 

Justeru, Mohamad Shukri berkata orang ramai, terutamanya komuniti maritim diseru agar terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan