AM

Sabah Electricity Gesa Orang Ramai Henti Penyambungan Haram

04/01/2025 08:51 PM

KOTA KINABALU, 4 Jan (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) menggesa orang ramai khususnya penduduk yang tinggal di kawasan setinggan supaya tidak melakukan penyambungan elektrik secara tidak sah.

Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata perbuatan itu bukan sahaja membahayakan si pelaku, tetapi juga orang awam yang tinggal atau berada di kawasan persekitaran yang melakukan penyambungan haram itu.

“Penyambungan elektrik secara haram dan tidak selamat memberi risiko keselamatan seperti kebakaran akibat litar pintas serta terkena renjatan elektrik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Yusmanizam ketika mengulas kejadian renjatan elektrik yang berlaku ke atas seorang lelaki dewasa di Jalan Lorong Kuala Neutron di sini pada Khamis lepas berkata pasukan teknikal Sabah Electricity tiba di lokasi kejadian setelah menerima aduan mengenai kejadian itu pada pukul 11.30 malam.

“Bekalan elektrik di kawasan itu dimatikan untuk memberi laluan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah melakukan kerja-kerja mengalihkan mangsa,” katanya.

Yusmanizam berkata hasil pemeriksaan mendapati terdapat sambungan haram pada peti pembekal ke lokasi kejadian yang menyebabkan renjatan ke atas mangsa.

Beliau berkata kerja-kerja membersihkan sambungan haram itu telah dilaksanakan dan bekalan elektrik ke kawasan berkenaan disambung semula.

Sabah Electricity turut menyeru orang ramai untuk melaporkan perkara berkaitan melalui Careline Sabah Electricity 15444, 088-5150 00 atau melalui aplikasi WhatsApp 019-852 5427.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan