ALOR GAJAH, 5 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan tiga projek pembinaan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di Melaka membabitkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah kira-kira RM1.5 juta pada tahun lepas.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata projek itu dilaksanakan di DSK Sungai Malim (berhampiran pintu air Klebang), DSK Sungai Jeram (bersebelahan Stadium Hang Jebat) dan DSK Parit Besar (bersebelahan Universiti Islam Melaka).
"Pembinaan DSK itu bertujuan untuk memelihara dan memulihara sungai, selain mengatasi masalah banjir serta mempertingkat kualiti air dan mewujudkan kawasan rekreasi atau riadah di kawasan terlibat.
"Setiap projek melibatkan kos purata sekitar RM500,000. Kesemua projek pembinaan DSK itu dilaksanakan bermula September tahun lepas dan berjaya disiapkan pada Disember tahun sama," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan DSK Parit Besar sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah dan Pengarah JPS Melaka Dr Muhammad Khairudin Khalil.
Rais berkata tiga lagi DSK akan dibina di negeri itu tahun ini, namun ia bergantung kepada peruntukan yang akan diterima daripada Kerajaan Persekutuan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kemuncak Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi akan dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Othman Syawal di Kuala Sungai Baru di sini pada 18 Jan depan.
"Kira-kira 10,000 penduduk di DUN itu dijangka memeriahkan program yang berkonsepkan kenduri rakyat dan penutup program bagi DUN Kuala Linggi.
"Pada kenduri rakyat itu, dua ekor lembu akan ditumbangkan selain 400 kilogram ikan pari untuk masakan asam pedas bagi jamuan pengunjung," katanya.
Rais berkata DUN Kuala Linggi adalah lokasi pertama penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat yang mula dilancarkan hari ini sebagai komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri kepada rakyat Melaka.
Beliau berkata program itu akan dilaksanakan setiap bulan dalam tempoh dua minggu di DUN berbeza mengikut penggiliran, dan pelbagai program serta pengisian akan dilaksanakan melibatkan ADUN kawasan, pelbagai agensi dan jabatan kerajaan negeri.
Melalui program itu, penduduk setempat juga berpeluang menyalurkan segala aduan atau masalah yang dihadapi terus kepada ADUN dan agensi berkaitan, sekali gus mencari jalan penyelesaian segera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial