AM

Pasukan Petugas Khas Ditubuh Bagi Tangani Isu Keselamatan Kenderaan Berat - Loke

06/01/2025 02:41 PM

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menangani isu keselamatan kenderaan berat secara menyeluruh, kata menterinya Anthony Loke.

Dalam ucapan pada majlis amanat tahun baharu 2025 di sini hari ini, beliau berkata pasukan petugas khas berkenaan akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan.

"Saya telah tugaskan KSU untuk mempengerusikan pasukan khas ini yang bukan sekadar untuk mengkaji dan menilai apa yang boleh dilaksanakan, tetapi untuk memulakan pelaksanaan segera bagi apa yang boleh dilaksanakan.

"Apa dasar yang boleh dibincangkan dan dilaksanakan dengan segera. Pasukan ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk merangka strategi efektif demi keselamatan semua pengguna jalan raya," katanya.

Pada 23 Dis lepas, tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta, dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara.

Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada tayar lori treler yang tercabut.

Beliau berkata prosedur pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) akan diperkemas dengan menambah elemen keselamatan kritikal seperti tayar dan sistem brek.

"Langkah ini bertujuan untuk memastikan semua kenderaan mematuhi spesifikasi keselamatan yang telah ditetapkan," katanya.

Loke berkata Kementerian Pengangkutan akan meningkatkan penguatkuasaan melalui pendekatan bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Selain itu, sistem "High Speed-Weigh in Motion" (HS-WIM) akan diperluaskan untuk memantau muatan kenderaan berat secara automatik.

“Sistem kamera Automated Awareness Safety System (AwAS) akan ditambah baik dengan mekanisme point-to-point bagi memantau kelajuan kenderaan secara lebih menyeluruh,” katanya.

Loke berkata kementerian juga akan menilai semula undang-undang seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 untuk memastikan hukuman lebih efektif terhadap kesalahan membawa muatan berlebihan. 

“Selain itu, latihan kompetensi kepada pengendali kenderaan berat akan ditingkatkan melalui berdasarkan Kod Amalan Industri (ICOP) Latihan Keselamatan Kod Amalan Industri (ICOP),” katanya.

Beliau berkata warga Kementerian Pengangkutan perlu keluar dari zon selesa dan mencari kaedah serta alternatif terbaik untuk memajukan sektor pengangkutan negara.

Katanya, antara fokus kementerian pada tahun ini adalah mengaplikasikan kecerdasan buatan (AI) dan mendigitalisasi penyampaian perkhidmatan pengangkutan kepada rakyat.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu, bekerja dengan penuh integriti, dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan