AM

GITC Meterai MoU Dengan 25 Persatuan Industri

07/01/2025 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Badan Penyelarasan TVET Kerajaan-Industri (GITC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan 25 persatuan industri Isnin lepas bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

GITC dalam kenyataan hari ini memaklumkan MoU itu melibatkan wakil organisasi merentasi pelbagai sektor termasuk kesenian, keusahawanan, hospitaliti, pelancongan, keusahawanan wanita, perkhidmatan perniagaan, digital Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Pengerusi GITC Tan Sri Soh Thian Lai berkata inisiatif itu merupakan langkah penting dalam merapatkan jurang antara industri dan sektor TVET menerusi penempatan kerja graduan TVET dalam bidang pengajian masing-masing.

“Ia (penempatan kerja graduan TVET) bagi memastikan syarikat mendapat individu berbakat dan graduan dilengkapi dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam tenaga kerja,” katanya.

GITC yang ditubuhkan pada 2022 merupakan platform kerjasama untuk merapatkan jurang antara keperluan industri dan pendidikan yang disediakan oleh institusi TVET di Malaysia.

Badan itu berperanan mengumpul maklumat, memberikan pandangan untuk pertimbangan dasar dan memperjuangkan ekosistem TVET yang dinamik serta responsif bagi melengkapkan graduan dengan kemahiran serta pengetahuan yang dituntut oleh industri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GITC Jamil Bakri dalam kenyataan sama berkata MoU berkenaan memberikan tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu latihan TVET yang diterajui industri, peningkatan peluang penempatan kerja melalui Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) dan inisiatif pembangunan kemahiran.

“Majlis yang dirai menunjukkan pencapaian GITC dalam menyempurnakan 100 MoU sepanjang tahun 2024. Pencapaian ini penting bagi membolehkan GITC menawarkan lebih 3,000 penempatan latihan industri dan Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) di seluruh negara bagi tahun ini,” katanya.

Institusi TVET yang berminat untuk meneroka peluang penempatan dan menghantar cadangan latihan industri atau WBL boleh melayari laman sesawang www.gitc.org.my

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan