AM

Intermark Mall Lancar Kempen Tahun Baharu Cina "Vintage Lunar Splendour"

07/01/2025 10:26 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Intermark Mall hari ini melancarkan kempen sambutan Tahun Baharu Cina Vintage Lunar Splendour hingga 16 Feb, yang mengubah pusat beli-belah itu menjadi pengalaman yang membawa pengunjung kembali ke masa lepas, memaparkan keindahan Shanghai Lama.

Pengurus Besar (Pemasaran) Intermark Mall Evelyn Woon berkata daya tarikan abadi era Shanghai dipilih sebagai tema kempen kerana kekayaan budaya, ekspresi seni dan gaya hidup yang sofistikated.

"Pada Tahun Baharu Cina ini, alangkah baiknya jika ada sesuatu yang mengingatkan kepada kemegahan masa lepas, Shanghai Lama menjadi tema terbaik yang sarat dengan elemen budaya dan warisan Cina untuk menarik minat serta menyatukan masyarakat.

"Tambahan pula, Intermark Mall terletak begitu strategik di Ampang Park, bukan sahaja berdekatan dengan stesen LRT dan MRT, tetapi juga menjadi tumpuan kepada pekerja dan keluarga ekspatriat di sekitar kawasan itu, jadi kami melihat Vintage Lunar Splendour sebagai pengalaman menarik untuk penduduk tempatan dan pelancong," katanya kepada Bernama selepas pelancaran kempen itu di sini.

Syarikat induk Intermark Mall, Pavilion REOT Malls dalam kenyataan memaklumkan Pasar Tahun Baharu Cina diadakan bersempena dengan kempen itu yang menawarkan barang keperluan perayaan dan hadiah daripada peruncit premium termasuk Jaya Grocer, Hank's, Living Circles Concept dan Carven Ong Couture.

"Pasar yang disusun atur itu melengkapkan suasana nostalgia Shanghai Lama, menawarkan pilihan persediaan perayaan tradisional dan kontemporari kepada pengunjung. Ground Floor Atrium berubah menjadi teater nostalgia yang glamor dengan dekorasi menakjubkan diinspirasikan oleh zaman kegemilangan Bund.

"Keajaiban teater ini meraikan keanggunan, kebudayaan dan warisan seni zaman itu, memberikan pengalaman memukau kepada semua pengunjung. Antara tarikan utama ialah persembahan tarian singa dan Golden Tunes oleh Serena See," menurut kenyataan itu.

Pengunjung boleh merasai pesona vintaj melalui bengkel khas, seperti Do-It-Yourself Rouge Making oleh  Sutekina Handmade dan mencipta kenangan abadi dengan sesi make over dan fotografi penuh glamor di  Makeover Studio oleh YoungGeneration Studio.

Intermark Mall juga menawarkan ganjaran kepada pengunjung dengan penebusan perayaan eksklusif, iaitu mereka akan menerima pek angpau edisi terhad bagi setiap resit tunggal bernilai RM188 (RM150 untuk pemegang kad Public Bank).

Mereka yang berbelanja sebanyak RM388 (RM288 bagi pemegang kad Public Bank) boleh mengumpul cawan edisi khas, dengan dua rekaan baharu diperkenalkan setiap dua minggu.

"Untuk pengalaman yang lebih istimewa, pengunjung yang berbelanja RM688 ke atas boleh menikmati sesi make over dan fotografi Vintage Lunar Splendour bernilai RM790 (terhad kepada lima pengunjung pertama setiap Jumaat dan Sabtu).

"Mereka yang berbelanja RM388 ke atas pula dapat menikmati pengalaman sama pada harga istimewa sebanyak RM88 (harga biasa RM288). Selain itu, pengunjung dengan pembelian tertinggi di pusat beli-belah itu akan menerima Sesi Potret Keluarga bernilai RM2,988," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan