KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara perlu menerajui peranan dalam menetapkan hala tuju jelas dan berwawasan yang menangani cabaran semasa, di samping mewujudkan asas untuk Malaysia yang harmoni dan bersatu bagi generasi akan datang.
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara Tan Sri Lee Lam Thye berkata kementerian itu perlu menerapkan pendekatan strategi yang lebih daripada sekadar retorik, dengan memberi tumpuan kepada tindakan yang boleh mengubah kepelbagaian Malaysia menjadi kekuatan terbesar negara.
Beliau mengakui bahawa walaupun usaha-usaha sebelum ini telah dibuat bagi memupuk keharmonian, pewujudan fokus dan strategi yang diperbaharui kini adalah penting untuk mengukuhkan perpaduan dalam negara.
“Semasa banyak usaha dilaksanakan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk kita yang pelbagai, ternyata Malaysia memerlukan fokus yang diperbaharui dan hala tuju strategik untuk meningkatkan perpaduan negara ke peringkat seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata unsur utama dalam membentuk hala tuju untuk masa depan ini perlu menerapkan dasar-dasar yang inklusif, memantapkan pendidikan berbilang budaya, meningkatkan penglibatan komuniti, memupuk nilai bersama, pemanfaatan teknologi, menginstitusikan gerakan perpaduan, menyuburkan ekuiti ekonomi, membanyakkan inisiatif berfokuskan belia, program beridentiti kebangsaan, dan sokongan perundangan.
Lee berkata Kementerian harus memastikan dasar-dasar yang diambil adalah inklusif dan mewakili komuniti pelbagai kaum, agama, dan budaya di Malaysia, serta mempromosikan kesamarataan dan keadilan untuk membina kepercayaan dalam kalangan kumpulan-kumpulan ini.
Bagi meningkatkan pendidikan pelbagai budaya, beliau berkata langkah merombak kurikulum sekolah untuk menekankan nilai pelbagai budaya, toleransi dan persefahaman adalah kritikal.
"Pengenalan semula program yang menggalakkan interaksi dalam kalangan pelajar dari sistem sekolah yang berbeza adalah penting untuk memecahkan tembok halangan antara mereka dari usia muda lagi," katanya.
Beliau berkata kementerian juga perlu memperkasa komuniti tempatan melalui inisiatif akar umbi yang membawa rakyat bersama melalui program seperti pertukaran budaya, dialog antara agama dan projek komuniti kolaboratif untuk memupuk persefahaman dan kerjasama bersama.
Lee berkata kementerian juga perlu berusaha mewujudkan undang-undang yang mengekang ucapan berbentuk menyebar kebencian, diskriminasi, dan aktiviti mengancam keharmonian sosial, kerana langkah ini boleh memastikan pewujudan asas perpaduan yang kukuh selaras dengan aspirasi negara.
“Perpaduan negara bukan matlamat jangka pendek sahaja, tetapi ia proses berterusan yang memerlukan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, masyarakat sivil, dan seluruh rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial