LUMUT, 23 Jan (Bernama) -- Feri Sri Tanjong I yang bernilai kira-kira RM8 juta dijangka beroperasi secara rasmi di Jeti Jabatan Kerja Raya (JKR) Pengkalan Kubor, Kelantan pada Mac.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pembinaan feri sepanjang 33 meter itu bermula pada 1 Mac 2024 dan siap sepenuhnya pada 28 Feb tahun sama.
“Sebelum beroperasi, feri ini akan memulakan tempoh pengujian dari 24 Jan hingga 7 Feb manakala tempoh Program Latihan Operasi dan Penyelenggaraan Feri dijadual pada 10 hingga 16 Feb.
“Ia diikuti dengan penghantaran ke Pengkalan Kubor dan akan meneruskan tempoh penyesuaian dari 23 hingga 28 Feb sebelum beroperasi sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Feri Sri Tanjong 1 di sini hari ini.
Feri jenis roro yang dilengkapi teknologi mesra alam itu mampu menampung hingga 58 penumpang, enam kru feri, lapan kenderaan ringan atau sebuah bas 44 penumpang atau empat lori lima tan atau dua buah lori 10 tan.
Beliau berkata kejayaan projek ini membuktikan keberkesanan hasil kolaborasi erat antara sektor awam dan swasta bagi membangunkan kemudahan berkualiti tinggi selaras piawaian antarabangsa.
“Kita akan terus komited memainkan peranan penting dalam memastikan feri ini diselenggara dengan baik bagi menjamin penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial