AM

Pengurangan Tempoh Menunggu Di Klinik Kesihatan Perlu Diperluas Ke Hospital Kerajaan

04/02/2025 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kejayaan mengurangkan tempoh waktu menunggu di klinik kesihatan dari tiga jam kepada 30 minit perlu diperluas ke hospital kerajaan bagi meneruskan prestasi yang signifikan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam.

Mengalu-alukan pencapaian positif Kementerian Kesihatan (KKM) itu, Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Dr N Marimuthu berkata perkembangan berkenaan tentunya memberi impak besar terhadap pengalaman pengguna di klinik kesihatan dan usaha ini perlu dibuka ke hospital kerajaan supaya lebih ramai dapat menikmati manfaat.

“FOMCA menyambut baik langkah KKM ini, namun perlu diingat bahawa hospital kerajaan juga menghadapi bebanan yang sama, terutamanya di kawasan bandar utama dan kawasan luar bandar.

"Keperluan untuk mengurangkan waktu menunggu di hospital juga sangat kritikal agar pesakit tidak perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkan rawatan. Jadi diharapkan usaha ini perlu dikekalkan dan usahlah sekadar hangat-hangat tahi ayam," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga menekankan kerajaan perlu memperuntukkan sumber yang mencukupi termasuk penambahan jumlah kakitangan dan fasiliti, untuk memastikan usaha ini dapat dipertingkatkan dan tidak terhenti pada tahap klinik sahaja.

Selain itu, Marimuthu turut mencadangkan sektor kesihatan diberi keutamaan dalam pembentangan belanjawan akan datang dengan meningkatkan peruntukan untuk menambah kakitangan dan memperbaiki infrastruktur kesihatan, khususnya dalam menangani kekurangan ruang di hospital serta klinik kerajaan yang sering menyebabkan kesesakan.

"Tambahan kakitangan dan kemudahan baharu diperlukan untuk mengimbangi permintaan semakin meningkat, apatah lagi dengan jumlah populasi negara semakin besar. Ini bukan sahaja mampu mengurangkan waktu menunggu, tetapi juga memastikan setiap pesakit mendapat rawatan berkualiti," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata walaupun sistem digital yang mula digunakan secara meluas di banyak klinik kesihatan akan memendekkan masa menunggu namun pesakit masih perlu mematuhi masa janji temu yang diberikan selain membuat persediaan rapi sebelum dan semasa janji temu itu.

Menurut beliau, sebelum ini tiada sistem janji temu yang efisien menyebabkan ada pesakit terpaksa menunggu lama untuk berjumpa doktor.

“Sistem digital ini dapat menguruskan sistem janji temu yang efisien serta mengurangkan masa proses kerja daripada pendaftaran, giliran pesakit dan mengambil ubat. Dengan itu, pesakit perlu patuh kepada masa yang ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N V Subbarow turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan dalam memperbaiki sektor kesihatan negara yang dilihat sebagai langkah positif dan berharap ia akan diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

“CAP menyambut baik usaha ini dan kita berharap perkara sama dapat dilaksanakan bukan sahaja klinik kerajaan, tetapi juga hospital, terutama di kawasan yang ramai pesakit. Perhatian juga harus diberikan pada proses pengambilan ubat yang turut mendapat keluhan ramai pesakit kerana melibatkan waktu menunggu lama di beberapa hospital," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan