AM

Malaysia, Uzbekistan Perkukuh Komitmen Dalam Sektor Utama

05/02/2025 04:24 PM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Uzbekistan hari ini menegaskan komitmen mereka untuk memerangi rasuah, selain memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama dalam bidang pendidikan, pelancongan, dan sektor-sektor lain.

Dalam kenyataan bersama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama sedia ada antara badan-badan antirasuah kedua-dua negara.

"Mereka bersetuju untuk mempertingkatkan kerjasama dalam pendidikan antirasuah untuk penjawat awam dan pegawai penguat kuasa undang-undang serta mempromosikan pertukaran pengalaman dan amalan terbaik secara berkala mengenai isu-isu anti-rasuah," menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk memperkukuh lagi program pertukaran antara institusi pengajian tinggi dan institut penyelidikan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan hubungan antara rakyat dan saling memahami antara kedua-dua negara.

Kenyataan itu juga menekankan kepentingan memperluaskan kerjasama pendidikan dalam bidang seperti penyelidikan bersama, perkongsian akademik, serta perkongsian kepakaran, untuk mempereratkan hubungan dan pertukaran pengetahuan antara Malaysia dan Uzbekistan.

Kenyataan bersama ini dikeluarkan sempena lawatan rasmi pertama Presiden Mirziyoyev ke Malaysia selama dua hari, atas jemputan Anwar, yang bermula hari ini.

Terdahulu, Mirziyoyev, yang memegang jawatan Presiden sejak Disember 2016 dan berkhidmat sebagai Perdana Menteri Uzbekistan sejak 2003, diberikan sambutan rasmi di Perdana Putra sebelum mengadakan pertemuan dengan Anwar, yang melawat Uzbekistan pada Mei tahun lalu.

Kerjasama dalam bidang pelancongan merupakan antara bidang utama yang dibincangkan, dengan kedua-dua pemimpin mengakui potensi sektor ini untuk meningkatkan hubungan dua hala.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk memanfaatkan kempen ‘Tahun Melawat Malaysia 2026’ serta meneroka peluang dalam pelancongan Islam dan insdustri halal, termasuk mempromosikan program ‘Umrah+’ bagi memasarkan Malaysia dan Uzbekistan sebagai destinasi pelancongan pra atau pasca haji bagi pelawat dari kedua-dua negara.

Bagi meningkatkan aksesibiliti, mereka juga bersetuju untuk memanfaatkan penerbangan langsung Kuala Lumpur-Tashkent yang dikendalikan oleh Uzbekistan Airways dan Batik Air Malaysia.

Dalam kenyataan bersama tersebut, kedua-dua pemimpin turut menzahirkan kepuasan terhadap kejayaan berterusan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan dua hala serta memupuk kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara.

Sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dan Uzbekistan pada 1992, kedua-dua negara telah menikmati manfaat bersama dalam pelbagai bidang kepentingan.

Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Uzbekistan adalah RM369.8 juta (US$80.9 juta), berkurangan sedikit sebanyak 13.2 peratus berbanding RM426.1 juta (US$94 juta) yang direkodkan pada 2023.

Pada tahun yang sama, imbangan perdagangan juga memihak kepada Malaysia dengan jumlah RM360.3 juta (US$78.9 juta).

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan